Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei mengakui pendekatan lebih tegas yang diperkenalkan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) tidak disenangi sebahagian pemain kebangsaan, namun beliau tetap mempertahankan tindakan tersebut demi masa depan badminton negara.
Bekas jaguh nombor satu dunia itu berkata, perubahan yang sedang dilakukan memerlukan pengorbanan dan disiplin tinggi daripada pemain, terutama ketika BAM mahu membina semula budaya profesional dalam skuad kebangsaan.
Menurut Chong Wei, beliau sedar terdapat pemain yang tidak berpuas hati sehingga mengambil keputusan bertemu Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi menyuarakan bantahan terhadap langkah yang diperkenalkan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan segala tindakan yang dilakukan mendapat pengetahuan dan sokongan penuh daripada presiden badan induk badminton negara itu.
“Mungkin sekarang ramai yang tidak selesa sebab kita ada pengurusan baharu dan banyak perkara diperketatkan.
“Saya tahu beberapa bulan ini memang susah, ada orang tidak suka, ada yang mengadu dan ada pemain jumpa presiden. Tidak mengapa, teruskan.
“Presiden tahu apa yang jawatankuasa dan saya lakukan. Apa yang saya buat pun saya akan laporkan kepada presiden,” katanya kepada BH Sukan.
Kenyataan itu hadir ketika BAM memperkenalkan semula beberapa peraturan yang dianggap lebih ketat dalam usaha meningkatkan tahap disiplin pemain di ABM.
Antara langkah yang diberi perhatian ialah kewajipan semua pemain yang belum berkahwin untuk tinggal di asrama akademi berkenaan bagi memastikan pemantauan disiplin dapat dilakukan dengan lebih menyeluruh.
Pendekatan tersebut bukan sekadar melibatkan rutin latihan, tetapi turut memberi penekanan terhadap pengurusan masa, pematuhan jadual serta pembentukan budaya profesional dalam kehidupan harian atlet.
Pada 25 November tahun lalu, BH Sukan melaporkan Chong Wei sudah memaklumkan bahawa BAM akan menguatkuasakan semula peraturan itu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan struktur disiplin dalam skuad negara.
Menurut Chong Wei, usaha membentuk pemain bertaraf dunia tidak boleh dilakukan dalam tempoh singkat kerana badminton memerlukan proses pembangunan yang panjang dan berterusan.
Beliau menegaskan bahawa disiplin perlu menjadi asas utama sebelum pemain mampu menghasilkan keputusan memberangsangkan di pentas antarabangsa.
“Kita tahu badminton ini perlukan masa. Bukan satu dua hari, satu dua bulan atau setahun terus nampak hasil.
“Tetapi yang penting pemain kena ada disiplin dahulu, selepas itu keputusan akan datang secara perlahan-lahan,” katanya.
Beliau percaya pemain perlu memahami bahawa kejayaan di peringkat tertinggi menuntut komitmen penuh terhadap sistem latihan dan pengurusan pasukan.
Dalam suasana badminton antarabangsa yang semakin kompetitif, aspek disiplin dilihat menjadi pemisah utama antara pemain yang mampu mengekalkan prestasi tinggi secara konsisten dengan mereka yang gagal menampung tekanan kejohanan besar.
Kenyataan Chong Wei juga dilihat berkait rapat dengan prestasi skuad negara pada kempen Piala Thomas di Horsens, Denmark bulan lalu apabila Malaysia terkandas di suku akhir.
Kegagalan itu mencetuskan semula persoalan mengenai tahap konsistensi dan disiplin pemain ketika menghadapi saingan bertaraf dunia.
Susulan kempen tersebut, Chong Wei sekali lagi menegaskan bahawa BAM perlu mengambil pendekatan lebih serius dalam soal disiplin sekiranya mahu melihat Malaysia kembali menjadi kuasa besar badminton dunia.
Semalam, Tengku Zafrul turut memberi bayangan bahawa pemain negara boleh dikenakan tindakan tegas termasuk digantung daripada menyertai kejohanan jika didapati melanggar disiplin dan peraturan ditetapkan BAM.
Perkembangan itu menunjukkan badan induk badminton negara kini mengambil pendirian lebih tegas dalam memastikan setiap pemain mematuhi standard profesional yang ditetapkan.
Walaupun menyedari langkah tersebut mungkin menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan segelintir pemain, Chong Wei menegaskan beliau tidak boleh membuat keputusan berdasarkan populariti atau penerimaan semua pihak.
Sebaliknya, beliau mahu memastikan setiap tindakan yang diambil benar-benar memberi manfaat kepada pembangunan badminton Malaysia dalam jangka panjang.
“Saya tidak boleh buat satu benda yang semua orang suka. Yang penting adalah untuk negara dan juga badminton Malaysia,” katanya.