sukan

TERKINI : Tahniah buat Chen Tang Jie-Toh Ee Wei

KUALA LUMPUR – Kejayaan bersejarah di pentas dunia terus menjadi asas utama kepada pemilihan Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei sebagai Atlet Terbaik pada Anugerah SAM-100PLUS 2025 yang berlangsung hari ini.

Beregu campuran negara itu meraih pengiktirafan tertinggi tersebut selepas mempamerkan prestasi luar biasa dengan menjuarai Kejohanan Dunia di Paris tahun lalu, sekali gus menghadiahkan kejayaan bermakna kepada negara bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Adidas Arena, pasangan negara menunjukkan kawalan permainan yang tersusun dan disiplin taktikal yang tinggi apabila menewaskan gandingan China, Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin, dengan keputusan 21-15, 21-14.

Kemenangan itu memperlihatkan keupayaan mereka mengawal tempo permainan serta mengekalkan konsistensi sepanjang perlawanan, faktor yang menjadi penentu dalam perlawanan bertaraf dunia yang sering dihimpit tekanan tinggi.

Ee Wei menegaskan bahawa kejayaan yang diraih bukan sahaja hasil usaha mereka berdua, tetapi turut dipengaruhi sokongan berterusan daripada pelbagai pihak termasuk media dan penyokong.

“Kita bersyukur boleh dapat anugerah Atlet Terbaik bagi tahun 2025 dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua terutama media yang selalu jumpa di ABM atau kejohanan.

“Anda semua bekerja keras dan terima kasih kepada penyokong Malaysia,” katanya.

Pengiktirafan ini turut menyaksikan mereka menewaskan beberapa calon lain yang juga tampil dengan prestasi cemerlang dalam bidang masing-masing, termasuk Tan Cheong Min dalam wushu, Emma Firyana Saroji dalam boling padang, Muhd Rafiq Ismail dalam tenpin boling serta Mohd Abdul Latif Maxzakir dalam silat.

Pemilihan tersebut menekankan kelebihan pasangan negara dari aspek pencapaian bertaraf dunia serta kemampuan mengekalkan momentum dalam kejohanan berprofil tinggi, sesuatu yang menjadi ukuran utama dalam anugerah berprestij ini.

Sementara itu, kategori Atlet Para Terbaik sekali lagi menjadi milik Bonnie Bunyau Gustin yang berjaya mempertahankan gelaran buat kali kedua berturut-turut.

Atlet powerlifting dari Sarawak itu dipilih berdasarkan rekod cemerlang apabila muncul juara dunia buat kali keempat berturut-turut, satu pencapaian yang menonjolkan dominasi berterusan di pentas antarabangsa.

Bonnie menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai dorongan besar untuk terus meningkatkan prestasi dan mengekalkan standard tinggi dalam saingan akan datang.

“Pertama-tamanya saya nak mengucapkan terima kasih kepada SAM (Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia) kerana menganugerahkan saya dengan anugerah yang sangat bermakna untuk saya lebih bersemangat lagi pada masa akan datang,” katanya.

Dalam kategori tersebut, beliau mengatasi pencabar lain termasuk Cheah Liek Hou, Abdul Latif Romly, Abdul Halim Mohammad dan Carmen Lim.

Majlis penyampaian anugerah menyaksikan kedua-dua pemenang utama menerima hadiah wang tunai RM10,000 serta trofi, yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Anugerah ini terus mengiktiraf atlet yang bukan sahaja mencapai kejayaan besar, tetapi turut menunjukkan ketahanan mental, konsistensi prestasi serta keupayaan menyesuaikan strategi dalam persaingan sengit di peringkat tertinggi.