Tiga beregu utama negara dilihat memiliki peluang untuk melangkah ke final saingan Masters Malaysia di Arena Unifi, Bukit Jalil dari 19 hingga 24 Mei ini berdasarkan undian dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini.
Beregu lelaki nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan pertama akan membuka kempen menentang pasangan Singapura, Wesley Koh-Junsuke Kubo.
Bekas juara dunia itu dijangka mula menerima tentangan sengit di suku akhir apabila berpotensi bertemu pasangan Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov atau wakil China, He Ke Yuan-Lin Xing Yi.
Jika mara ke separuh akhir, Aaron-Wooi Yik dijangka membuat perhitungan sesama sendiri dengan pasangan negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sebelum berpotensi bertemu pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi di final.
Tahun lalu, Aaron-Wooi Yik muncul naib juara selepas tewas kepada rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang bagaimanapun menarik diri kali ini susulan kecederaan lutut dialami Wei Chong.
Dalam acara beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang turut diletakkan sebagai pilihan pertama dijangka mempunyai laluan selesa untuk melangkah ke final pertama mereka di Masters Malaysia.
Pasangan nombor dua dunia dunia itu akan membuka saingan menentang pasangan dari pusingan kelayakan sebelum dijangka berdepan cabaran utama daripada pasangan Jepun, Chiharu Shida-Arisa Igarashi di suku akhir.
Sekiranya semuanya berjalan lancar, Pearly-Thinaah dijangka bertemu pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi pada final.
Sementara itu, juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan memulakan kempen menentang pasangan Kanada, Jonathan Lai-Crystal Lai.
Pasangan ranking keempat dunia itu dijangka berdepan laluan lebih mencabar apabila berpotensi menentang juara Eropah dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje di separuh akhir sebelum kemungkinan membuat perhitungan dengan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran di final.
Dalam acara perseorangan lelaki, Leong Jun Hao akan membuka kempen menentang pemain dari pusingan kelayakan manakala Justin Hoh berdepan wakil China, Weng Hong Yang.
Bagi perseorangan wanita, K Letshanaa diundi menentang pemain Denmark, Amalie Schulz, sementara Wong Ling Ching bertemu wakil Vietnam, Nguyen Thuy Linh.
Seorang lagi wakil negara, Goh Jin Wei pula bakal berdepan cabaran sukar apabila dijadual menentang pemain Thailand, Busanan Ongbamrungphan