sukan

TERKINI: Wei Chong-Kai Wun sentap ego Indonesia, Mara Ke Final

HASRAT Indonesia untuk menyaksikan dua wakilnya bertembung dalam final beregu lelaki Terbuka Perancis 2026 tidak kesampaian selepas Man Wei Chong-Tee Kai Wun menyingkirkan Raymond Indra-Nikolaus Joaquin pada aksi separuh akhir, awal pagi tadi.

Pasangan Malaysia yang menghuni ranking ke-11 dunia itu hanya memerlukan 34 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-16, 21-15, sekali gus menempah tiket ke perlawanan akhir kejohanan Super 750 berkenaan.

Kemenangan tersebut cukup bermakna buat Wei Chong-Kai Wun yang memasuki gelanggang dengan misi membalas kekalahan kepada pasangan Indonesia itu dalam pertemuan terdahulu.

Sebelum perlawanan, Raymond-Joaquin memiliki kelebihan psikologi apabila mendahului rekod pertemuan 1-0, namun kedudukan tersebut tidak memberikan sebarang jaminan apabila kedua-dua pasangan kembali berentap di Arena Grand Paris.

Wei Chong-Kai Wun tampil lebih berkesan dalam mengendalikan pertembungan kali ini apabila berjaya menguasai set pembukaan sebelum menamatkannya dengan kemenangan 21-16.

Pasangan negara kemudian meneruskan rentak positif pada set kedua untuk memastikan Raymond-Joaquin tidak berpeluang mengheret perlawanan ke set penentuan.

Kemenangan 21-15 pada set kedua akhirnya melengkapkan kejayaan Wei Chong-Kai Wun untuk mara ke final, sekali gus menamatkan kemaraan pasangan Indonesia yang berada di ranking ke-14 dunia itu.

Kekalahan Raymond-Joaquin turut memberikan tamparan kepada perancangan Indonesia untuk merebut gelaran menerusi final sesama wakil negara mereka.

Sebelum separuh akhir berlangsung, media Indonesia memberikan perhatian terhadap peluang Raymond-Joaquin dan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin yang masing-masing berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat pasangan terakhir.

Raymond-Joaquin dijadualkan menentang Wei Chong-Kai Wun, manakala Leo-Daniel pula bertemu pasangan profesional Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Situasi itu membuka kemungkinan final sesama Indonesia sekiranya kedua-dua wakil negara berkenaan berjaya mengatasi lawan masing-masing.

Bagaimanapun, Wei Chong-Kai Wun memastikan senario tersebut tidak berlaku apabila menyingkirkan Raymond-Joaquin menerusi kemenangan meyakinkan.

Dalam perjalanan ke separuh akhir, Raymond-Joaquin terlebih dahulu menyingkirkan pasangan China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi 23-21, 21-18 pada suku akhir.

Wei Chong-Kai Wun pula mara ke separuh akhir selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa menarik diri dalam pertemuan sesama Malaysia ketika ketinggalan 0-5 pada set pembukaan.

Sebelum itu, Wei Chong-Kai Wun menewaskan bekas juara dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 25-23, 21-14 pada pusingan kedua.

Kejayaan mengatasi Raymond-Joaquin kini meletakkan pasangan negara hanya selangkah daripada merangkul kejuaraan Terbuka Perancis.

Lebih menarik, Malaysia turut berpeluang menyaksikan final sesama wakil negara sekiranya Sze Fei-Izzuddin berjaya menyingkirkan Leo-Daniel dalam satu lagi aksi separuh akhir.