TERKINI : Pang Ron-Pei Jing sebenarnya pecahkan Rekod berusia 117 tahun

SEJARAH baharu tercipta buat badminton negara apabila Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing muncul sebagai gandingan beregu campuran yang kedua-duanya pemain Malaysia pertama berjaya melangkah ke final Terbuka Perancis sejak kejohanan berprestij itu mula dianjurkan lebih satu abad lalu.

Pang Ron-Pei Jing mengesahkan tempat dalam perlawanan akhir edisi 2026 selepas menampilkan persembahan dominan untuk menewaskan pilihan keenam dari China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui pada aksi separuh akhir di Arena Grand Paris, Tremblay-en-France, Sabtu.

Pasangan profesional negara yang berada di ranking ke-31 dunia itu hanya memerlukan 31 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-13, 21-9.

Kemenangan berkenaan bukan sahaja membawa Pang Ron-Pei Jing ke final kedua mereka musim ini, malah mencipta satu lembaran baharu dalam sejarah penyertaan Malaysia dalam kategori beregu campuran Terbuka Perancis.

Terbuka Perancis mempunyai sejarah yang panjang dengan kejohanan itu direkodkan berlangsung sejak 1909. Sepanjang tempoh tersebut, pemain dari Malaya pernah menikmati kejayaan dalam kategori beregu campuran, namun mereka ketika itu bergandingan dengan pemain wanita dari negara lain.

Antara contoh paling jelas ialah legenda Malaya, Eddy Choong yang pernah muncul juara beregu campuran bersama pemain England, Queenie Webber pada 1951 dan 1952. David Choong pula turut memenangi kategori sama bersama Sonia Cambril dari England pada 1957.

Justeru, pencapaian Pang Ron-Pei Jing mempunyai nilai sejarah tersendiri apabila mereka menjadi gandingan yang terdiri daripada dua pemain Malaysia pertama berjaya menembusi perlawanan akhir kategori berkenaan.

Perjalanan mereka ke final kali ini juga bukan mudah.

Pang Ron-Pei Jing memulakan kempen dengan bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan pasangan China, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying 14-21, 21-15, 21-15.

Mereka sekali lagi dipaksa bermain tiga set pada pusingan kedua sebelum mengatasi Liu Kuang Heng-Hsu Yin-Hui dari Taiwan 21-13, 13-21, 21-17.

Di suku akhir, pasangan negara meneruskan rentak dengan menyingkirkan Marvin Seidel-Thuc Phuong Nguyen dari Jerman 21-17, 20-22, 21-18 sebelum menghasilkan persembahan paling meyakinkan ketika menundukkan Guo-Chen di separuh akhir.

Cabaran lebih besar kini menanti Pang Ron-Pei Jing dalam perebutan kejuaraan apabila mereka akan berdepan pasangan nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Feng-Huang mengesahkan tempat ke final selepas melalui pertarungan sengit menentang juara dunia dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue sebelum menang 19-21, 21-17, 21-19.

Pertemuan itu turut membuka peluang kepada Pang Ron-Pei Jing untuk membalas kekalahan kepada pasangan China berkenaan selepas mereka tewas kepada Feng-Huang dalam final Masters China bulan lalu.

Pang Ron-Pei Jing baru digandingkan pada Mei lalu, namun perkembangan mereka cukup pantas apabila final Terbuka Perancis menjadi penampilan kedua mereka di pentas akhir musim ini.

Kini, hanya satu kemenangan memisahkan mereka daripada mencipta satu lagi sejarah lebih besar — menjadi gandingan serba Malaysia pertama muncul juara beregu campuran Terbuka Perancis.