sukan

Komen padu Pengendali Buriram selepas menang di gelanggang keramat JDT

Pengendali Buriram United, Mark Jackson, memuji keberkesanan jentera serangan pasukannya selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Johor Darul Ta’zim dalam aksi separuh akhir pertama Kejuaraan Kelab ASEAN di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Jurulatih itu menegaskan, walaupun anak buahnya berdepan tekanan berterusan daripada skuad kendalian Xisco Munoz, mereka berjaya mengekalkan disiplin taktikal yang tinggi sebelum menghukum lawan menerusi serangan balas yang tersusun dan berkesan.

Menurut Jackson, pendekatan bertahan secara kolektif menjadi asas penting dalam mengekang penguasaan bola pasukan tuan rumah, sekali gus membuka ruang untuk melakukan serangan balas yang tajam setiap kali peluang hadir.

“Ini merupakan perlawanan sukar buat kami namun pemain saya berjaya mempamer disiplin yang tinggi apabila berjaya menyerap tekanan dan bertahan dengan baik sebagai satu unit. Pujian perlu diberikan kepada mereka yang dapat mengikut taktikal yang diterapkan.

“Walaupun pasukan tuan rumah lebih banyak menguasai bola, kita lebih tajam di hadapan gol. Setiap kali kita melancarkan serangan ke dalam kotak penalti, kita pastikan ia tidak disia-siakan begitu sahaja,” katanya.

Dalam perlawanan tersebut, kecekapan Buriram United jelas terserlah apabila setiap transisi permainan dilakukan dengan kemas, membolehkan mereka mengeksploitasi kelemahan benteng pertahanan lawan yang terdedah ketika situasi peralihan.

Jackson turut menekankan bahawa pasukannya kini semakin matang dari segi variasi permainan, sama ada ketika bertahan mahupun menyerang, sekali gus menjadikan mereka lebih sukar diramal oleh lawan.

“Kita sudah berjaya buktikan pada musim ini bahawa kita mampu bermain pelbagai jenis permainan di mana kita bukan sahaja mampu bertahan dengan baik malah memberi tekanan hingga mengkucar-kacirkan persembahan lawan,” katanya lagi.

Kemenangan di gelanggang lawan itu dilihat sebagai kelebihan besar buat Buriram United untuk menghadapi aksi timbal balik yang dijadual berlangsung pada 13 Mei ini, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk melangkah ke pentas final buat dua musim berturut-turut.

Dalam aksi tersebut, Guilherme Bissoli muncul watak utama apabila menjaringkan dua gol, manakala Goran Causic melengkapkan jaringan ketiga pasukan pelawat.

Sementara itu, gol tunggal Johor Darul Ta’zim disumbangkan oleh Ager Aketxe, namun ia tidak mencukupi untuk menghalang kekalahan di laman sendiri.

Secara keseluruhan, perlawanan ini memperlihatkan perbezaan ketara dari segi kecekapan penyudah antara kedua-dua pasukan, dengan Buriram United lebih klinikal dalam memanfaatkan peluang, berbanding JDT yang gagal menukar penguasaan bola kepada jaringan yang mencukupi.

Keputusan ini turut mencerminkan kepentingan disiplin taktikal serta ketajaman di hadapan gol dalam menentukan hasil perlawanan pada peringkat tertinggi, terutama dalam aksi kalah mati yang menuntut kecekapan maksimum daripada setiap pemain.