sukan

TERKINI : BWF dedahkan status Zii Jia kejutkan banyak pihak

PEMAIN perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia telah disahkan menarik diri daripada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 20 Julai ini. Pengesahan mengenai penarikan diri pemain tersebut dipaparkan menerusi laman rasmi Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) yang memaklumkan pemain berusia 27 tahun itu tidak akan turun beraksi dalam kejohanan berkenaan. Namun begitu, sehingga kini, masih tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Team LZJ berhubung keputusan tersebut.

Lee Zii Jia sebelum ini diketahui mengalami masalah kecederaan pada bahagian buku lali ketika menyertai Jelajah Akhir Dunia pada Disember lalu. Setelah beberapa bulan berehat, beliau kembali turun ke gelanggang pada bulan Mac dalam saingan Orleans Masters. Bagaimanapun, percubaan tersebut tidak membuahkan hasil apabila Zii Jia hanya berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir sebelum tewas kepada pemain dari Ireland, Nhat Nguyen dengan keputusan 23-21, 21-7.

Selain itu, Zii Jia juga sempat beraksi di Kejohanan Seluruh England 2025 yang berlangsung di Birmingham pada 11 hingga 16 Mac. Namun begitu, nasib masih tidak menyebelahi pemain perseorangan utama negara itu apabila beliau terkandas seawal pusingan pertama selepas tumpas di tangan wakil Hong Kong, Angus Ng Ka Long dengan skor 21-19, 16-21, 12-21.

Tidak lama selepas itu, pemain yang kini berada di ranking kelapan dunia tersebut turut membuat keputusan menarik diri daripada Kejohanan Terbuka Swiss 2025 yang dijadualkan diadakan di Basel, Switzerland pada 18 hingga 23 Mac lalu. Keputusan itu juga dilaporkan berkait rapat dengan kecederaan buku lali yang masih belum pulih sepenuhnya.

Dalam perkembangan lain, Sabtu lalu, Majlis Sukan Negara (MSN) tampil memberikan kenyataan bahawa Zii Jia berada dalam keadaan baik dan tidak perlu timbul sebarang kebimbangan berhubung tindakannya memuat naik beberapa lakaran misteri di laman media sosial pada hari Jumaat sebelumnya. Menurut Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin, pihaknya bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah menghubungi Team LZJ untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tindakan pemain tersebut.

Lakaran misteri yang dikongsikan oleh Zii Jia di media sosial itu telah menarik perhatian ramai dengan jumlah tanda suka mencecah lebih 131,000 selain dihujani lebih 3,000 komen daripada peminat. Perkongsian tersebut juga menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat badminton tanah air mengenai maksud sebenar di sebalik hantaran itu. Tidak kurang juga terdapat dakwaan bahawa pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu mungkin sedang berdepan isu kesihatan peribadi mahupun tekanan mental.

Bagaimanapun, sehingga artikel ini ditulis, masih tiada sebarang penjelasan terperinci berhubung maksud sebenar lakaran yang dimuat naik Zii Jia tersebut. Para peminat terus menzahirkan sokongan padu kepada beliau dan berharap pemain harapan negara itu dapat kembali pulih sepenuhnya bagi meneruskan cabaran di pentas antarabangsa.