sukan

TERKINI : Info Siaran Langsung Aksi Aaron Tai-Yap Roy King di Final Masters Jepun

Peminat badminton tanah air berpeluang menyaksikan perjuangan beregu lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King yang bakal turun memburu gelaran kedua musim ini pada final Kejohanan Badminton Masters Jepun 2026, hari ini.

Pasangan ranking ke-57 dunia itu dijadual membuat perhitungan dengan beregu tuan rumah yang juga bekas juara dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dalam aksi penentuan kejuaraan di Gimnasium Wilayah Kumamoto, Jepun.

**Pertembungan tersebut dijangka berlangsung sekitar jam 12.00 tengah hari waktu Malaysia dan boleh disaksikan secara langsung menerusi saluran Astro Grandstand 810.**

Bagaimanapun, waktu sebenar perlawanan bergantung kepada tempoh aksi terdahulu memandangkan pertembungan beregu lelaki merupakan perlawanan ketiga daripada lima final yang dijadual berlangsung hari ini.

Aaron-Roy King bakal menghadapi cabaran getir apabila Hoki-Kobayashi merupakan pasangan berpengalaman yang pernah muncul juara dunia pada 2021 dan menghuni kedudukan nombor satu dunia.

Gandingan Jepun itu kini berada pada ranking ke-10 dunia, sekali gus mempunyai kelebihan 47 anak tangga berbanding pasangan muda Malaysia.

Walaupun berdepan lawan lebih tinggi ranking, Aaron-Roy King hadir dengan prestasi memberangsangkan selepas berjaya melangkah ke final tanpa kehilangan sebarang set sepanjang empat perlawanan yang diharungi.

Mereka memulakan kempen dengan menewaskan pasangan Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi, 21-8, 21-14 pada pusingan pertama.

Aaron-Roy King kemudian mencipta kejutan apabila menyingkirkan pilihan keempat kejohanan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menerusi kemenangan 21-14, 21-15 pada pusingan kedua.

Rentak positif tersebut diteruskan apabila mereka menewaskan beregu Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po Hsuan, 21-16, 21-12 di suku akhir.

Pada separuh akhir semalam, Aaron-Roy King sekali lagi mempamerkan persembahan meyakinkan untuk mengatasi wakil Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dengan keputusan 21-18, 21-18 dalam tempoh 38 minit.

Sementara itu, Hoki-Kobayashi menempah tiket ke final selepas menewaskan pasangan China, Wang Chang-Xie Haonan, 21-15, 19-21, 21-17 dalam pertarungan tiga set.

Bagi Aaron-Roy King, perlawanan hari ini menjadi peluang untuk merangkul kejuaraan kedua selepas mencipta sensasi dengan menjuarai Terbuka Artik pada Oktober lalu.

Kejayaan tersebut diraih ketika penampilan sulung mereka sebagai pasangan selepas mula digandingkan bulan berkenaan.

Peminat badminton Malaysia boleh mengikuti aksi penentuan kejuaraan itu menerusi Astro Grandstand saluran 810, dengan perlawanan dijangka bermula sekitar jam 12.00 tengah hari waktu Malaysia.