Skuad Harimau Malaya berdepan tugas sukar dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang China apabila ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, malam ini.
Pasukan kendalian ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe gagal menghalang tuan rumah daripada mencatat dua jaringan awal dalam tempoh 20 minit pertama perlawanan.
China membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Wang Yudong yang berjaya menyempurnakan peluang hasil gerakan daripada Lin Liangming.
Jaringan tersebut memberikan kelebihan awal kepada tuan rumah sebelum mereka menggandakan kedudukan hanya sembilan minit kemudian.
Kali ini, Zhang Yuning muncul penjaring gol kedua China pada minit ke-19 selepas menerima hantaran daripada Wang Shangyuan, sekali gus meletakkan Malaysia dalam keadaan lebih tertekan.
Dua jaringan berkenaan menyaksikan China membawa kelebihan 2-0 ketika kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan selepas tamat separuh masa pertama.
Harimau Malaya yang tampil dengan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama berdepan cabaran besar selepas kehilangan sejumlah pemain tonggak menjelang siri persahabatan antarabangsa kali ini.
Cheng Hoe sebelum ini tidak menyenaraikan beberapa pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), termasuk Arif Aiman Hanapi, Bergson Da Silva, Manuel Hidalgo, Stuart Wilkin dan La’Vere Corbin-Ong bagi memberikan ruang kepada kelab berkenaan menghadapi jadual padat.
Selain itu, enam pemain Selangor FC terpaksa menarik diri daripada skuad kebangsaan akibat masalah kecederaan, manakala Safawi Rasid turut meninggalkan kem latihan negara atas urusan keluarga.
Situasi berkenaan memaksa Cheng Hoe membuat beberapa penyesuaian dalam usaha membentuk pasukan yang mampu memberikan saingan kepada China.
Bagi perlawanan malam ini, Haziq Nadzli diberikan kepercayaan mengawal gawang negara, manakala kapten Dion Cools mengetuai barisan pertahanan bersama Dominic Tan dan Rodney Celvin Akwensivie.
Di bahagian serangan, Fergus Tierney, Romel Morales dan Ramadhan Saifullah Usman menjadi antara pemain yang dipertaruhkan bagi mencari jaringan Malaysia.
Bagaimanapun, dua gol awal tuan rumah memastikan Harimau Malaya perlu memperkemaskan permainan dan mencari penyelesaian di bahagian serangan selepas rehat.
Perlawanan menentang China merupakan sebahagian daripada persiapan antarabangsa skuad kebangsaan sebelum meneruskan aksi persahabatan menentang Yaman pada 17 November ini.
**Keputusan separuh masa: China 2-0 Malaysia.**