sukan

TERKINI : Brazil dimalukan pasukan Asia

Jepun akhirnya berjaya membalas kekalahan kepada Brazil pada Piala Dunia 2026 selepas mencatat kemenangan dramatik 3-2 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Singapura, hari ini.

Kemenangan itu hadir selepas Tatsuhiro Sakamoto menjaringkan gol pada masa kecederaan, sekali gus memastikan skuad kendalian Hajime Moriyasu tidak mengulangi kekecewaan yang dialami ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam kejohanan terbesar bola sepak dunia pada Jun lalu.

Ketika Piala Dunia 2026, Jepun terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan selepas tewas 1-2 kepada Brazil pada pusingan 32 terakhir.

Dalam perlawanan tersebut, Brazil bangkit daripada ketinggalan sebelum Gabriel Martinelli menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan untuk menamatkan perjuangan Jepun.

Bagaimanapun, situasi berbeza berlaku dalam pertemuan di Singapura apabila Jepun pula berjaya menghasilkan jaringan kemenangan pada penghujung permainan.

Jepun membuka tirai jaringan menerusi Takefusa Kubo pada minit ke-15 selepas pemain berkenaan berjaya memanfaatkan peluang untuk menewaskan penjaga gol Brazil, Pedro Morisco.

Kelebihan itu kemudian digandakan empat minit selepasnya apabila Keito Nakamura menyempurnakan hantaran Shuto Nakano untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Dua jaringan awal tersebut memberikan kelebihan kepada Jepun, namun Brazil yang dibimbing Carlo Ancelotti enggan menyerah kalah.

Vinicius Jr menghidupkan kembali peluang Brazil apabila menghasilkan jaringan pertama pasukannya pada minit ke-33 menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti.

Gol tersebut menyaksikan Brazil berjaya merapatkan kedudukan kepada 1-2 sebelum tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, Brazil terus memberikan tekanan dan akhirnya memperoleh jaringan penyamaan menerusi Vinicius pada minit ke-75.

Penyerang Real Madrid itu melepaskan rembatan yang terkena tiang sebelum bola melantun masuk ke dalam gawang, sekali gus mengikat kedudukan 2-2.

Brazil kemudian hampir melengkapkan kebangkitan apabila Endrick melakukan percubaan yang terkena palang gol Jepun.

Bagaimanapun, ketika kedua-dua pasukan dilihat bakal berkongsi keputusan seri, Sakamoto muncul watak penting buat Jepun.

Pemain gantian itu menyempurnakan peluang pada minit ke-90+1 selepas bola hasil percubaan rakan sepasukannya terkena pemain lawan sebelum jatuh ke laluannya.

Jaringan tersebut memberikan kemenangan 3-2 kepada Jepun, namun turut mencetuskan bantahan daripada kem Brazil.

Pemain Brazil mendakwa berlaku kekasaran terhadap Joao Gomes dalam gerakan yang membawa kepada gol tersebut.

Bantahan berkenaan menyaksikan ketua jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti dan penyerang Raphinha menerima kad merah daripada pengadil.

Kejayaan tersebut memberikan Jepun kemenangan kedua ke atas Brazil dalam tempoh lebih setahun selepas turut menewaskan pasukan Amerika Selatan itu 3-2 dalam aksi persahabatan pada Oktober 2025.

Lebih penting, keputusan di Singapura kali ini membolehkan Jepun membalas kekecewaan tersingkir pada Piala Dunia, dengan gol kemenangan sekali lagi hadir pada masa kecederaan tetapi kali ini memihak kepada mereka.