sukan

Aksi Sabah, Terengganu dicemari Insiden pergaduhan

Pertembungan Liga Super antara Sabah FC dan Terengganu FC (TFC) di Stadium Likas, petang tadi, dicemari insiden kekecohan yang menyaksikan penyerang pelawat, Romel Morales, dilayangkan kad merah ketika skuad Sang Badak mencatat kemenangan 2-0.

Insiden itu berlaku menjelang penghujung separuh masa pertama apabila Morales terlibat dalam pertelingkahan dengan beberapa pemain Sabah selepas satu situasi permainan yang mencetuskan ketegangan antara kedua-dua pasukan.

Keadaan menjadi semakin panas apabila Morales dilihat melakukan kekasaran terhadap pemain tuan rumah, termasuk penjaga gol Sabah, Juan Flere, yang terjatuh dan terbaring kesakitan di atas padang.

Pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah, kemudian mengambil tindakan terhadap penyerang naturalisasi negara itu selepas meneliti insiden berkenaan menerusi semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Keputusan tersebut menyaksikan Morales dilayangkan kad merah sekitar minit ke-42, sekali gus memaksa Terengganu meneruskan baki perlawanan dengan hanya 10 pemain.

Kekurangan seorang pemain itu menambahkan lagi kesukaran buat skuad kendalian Nafuzi Zain yang ketika itu sudah ketinggalan dua jaringan hasil penyudah pemain import Sabah.

Sebelum insiden berkenaan berlaku, pasukan tuan rumah terlebih dahulu menguasai kedudukan selepas berjaya menghasilkan dua gol dalam tempoh lima minit pada pertengahan separuh masa pertama.

Sabah membuka tirai jaringan sekitar minit ke-19 menerusi pemain pertahanan kelahiran Sepanyol, Enrique Lopez Fernandez atau lebih dikenali sebagai Kike Kadete.

Jaringan tersebut berpunca daripada percubaan jarak jauh yang melantun di hadapan penjaga gol TFC, Mohd Suhaimi Husin, sebelum bola terlepas daripada kawalannya dan menerjah gawang.

Keadaan padang yang basah selepas hujan lebat turut menjadi antara cabaran kepada kedua-dua pasukan sepanjang perlawanan berlangsung.

Tidak lama selepas jaringan pembukaan itu, Sabah menggandakan kedudukan menerusi Gonzalo Ignacio Di Renzo pada minit ke-24.

Penyerang dari Argentina itu berjaya menyempurnakan peluang yang diperoleh untuk meletakkan Sang Badak dalam kedudukan selesa dengan kelebihan 2-0.

Terengganu cuba memberikan tindak balas menerusi beberapa gerakan menyerang, namun gagal menghasilkan jaringan sebelum insiden membabitkan Morales mengubah perjalanan perlawanan.

Kad merah berkenaan menyaksikan pelawat terpaksa menyusun semula pendekatan permainan pada separuh masa kedua untuk mengelakkan Sabah daripada menambah jaringan.

Bagaimanapun, Sabah yang memiliki kelebihan seorang pemain turut gagal memanfaatkan beberapa peluang untuk melebarkan kedudukan.

Antara peluang terbaik tuan rumah hadir menerusi penyerang negara, Darren Lok, namun percubaannya melambung melepasi palang gol Terengganu.

Skuad Sang Badak terus mengawal kedudukan sehingga tamat perlawanan untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka.

Terdahulu, sepak mula perlawanan yang dijadualkan pada jam 5 petang terpaksa dilewatkan selepas hujan lebat melanda Kota Kinabalu.

Kemenangan tersebut membolehkan Sabah mengumpul 10 mata selepas enam perlawanan untuk menduduki tangga kelima Liga Super musim 2026/27.

Sebaliknya, Terengganu kekal di kedudukan kesembilan dengan lima mata, sekali gus meneruskan permulaan musim yang kurang memberangsangkan.

Keputusan itu turut menyaksikan Sabah meraih kemenangan ketiga liga, manakala TFC terpaksa menerima kekalahan ketiga mereka selepas enam perlawanan.

Sabah dijadualkan meneruskan saingan menentang Kelantan pada 21 November, sementara Terengganu akan berdepan DPMM FC sehari lebih awal.

Bagi skuad Penyu, kekalahan di Likas bukan sahaja menjejaskan kedudukan liga, malah insiden kad merah Morales menjadi satu lagi perkembangan yang perlu ditangani menjelang perlawanan berikutnya.