Usaha mendapatkan jurulatih Jepun bertaraf tinggi untuk Harimau Malaya mungkin memerlukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyediakan pakej gaji antara AS$30,000 hingga AS$60,000 sebulan.
Jumlah itu bersamaan kira-kira RM122,440 hingga RM244,900 bergantung kepada tahap pengalaman, reputasi dan rekod pencapaian individu yang mahu dibawa masuk.
Perkara itu dijelaskan ejen bertauliah FIFA, Effendi Jagan Abdullah, yang melihat pelaburan besar diperlukan sekiranya FAM benar-benar mahu mendapatkan jurulatih dengan profil kukuh di peringkat Asia.
“Kalau untuk jurulatih yang betul-betul berada di aras tertinggi dan ada nama di peringkat Asia, saya rasa paling minimum pun FAM kena sediakan sekitar AS$30,000 sebulan.
“Tetapi kalau untuk yang lebih baik, sudah tentu tawarannya boleh jadi lebih tinggi, mungkin maksimum boleh mencecah sehingga AS$60,000.
“Jadi, FAM kena sedia untuk melabur besar kerana kita tidak boleh setakat ambil jurulatih yang biasa-biasa sahaja untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya. Kita kena pastikan kita mendapat pulangan lumayan dengan nilai dilaburkan,” katanya.
Effendi yang juga Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd berkata, kos berkenaan tidak boleh dinilai berdasarkan kewarganegaraan semata-mata.
Sebaliknya, pakej seseorang jurulatih banyak bergantung kepada pengalaman mengendalikan pasukan di peringkat antarabangsa, reputasi serta tahap kejayaan yang pernah dicapai.
Perbincangan mengenai jurulatih Jepun muncul selepas nama Hajime Moriyasu dikaitkan dengan Harimau Malaya.
Portal Jepun, Sakanowa, mendakwa pengurus skuad kebangsaan Jepun itu muncul sebagai antara calon untuk jawatan berkenaan.
Laporan tersebut memetik media Vietnam, Tien Phong, yang menyebut nama Moriyasu dalam konteks FAM mempertimbangkan khidmat pengendali asing pada masa akan datang.
Namun, FAM menegaskan belum ada sebarang perkembangan rasmi.
Presidennya, Datuk Ab Ghani Hassan, menafikan terdapat rundingan atau hubungan dengan Moriyasu setakat ini.
“Belum ada langkah konkrit di pihak FAM lagi. Kami akan membincangkan isu ini secara mendalam,” katanya.
Penjelasan itu penting bagi membezakan antara laporan media dengan perkembangan rasmi.
Setakat ini, Moriyasu belum diumumkan sebagai calon FAM dan tiada pengesahan bahawa rundingan sedang berlangsung.
Harimau Malaya kini masih berada di bawah kendalian jurulatih interim, Tan Cheng Hoe.
Cheng Hoe berjaya membawa pasukan negara muncul tempat ketiga pada Piala ASEAN FIFA baru-baru ini.
Sekiranya FAM akhirnya memilih untuk mendapatkan jurulatih asing bertaraf tinggi, aspek kewangan sudah pasti menjadi antara pertimbangan utama.
Dengan anggaran sehingga hampir RM245,000 sebulan untuk jurulatih Jepun kelas atasan, keputusan berkenaan bukan sekadar soal nama besar, tetapi turut membabitkan kemampuan memastikan pelaburan itu memberikan pulangan dari segi pembangunan dan prestasi Harimau Malaya.