sukan

Luahan Aaron-Wooi Yik selepas digandingkan semula

Selepas melalui tempoh perpisahan sementara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini kembali sebagai pasangan tetap dengan satu sasaran besar yang masih belum berjaya dicapai sepanjang sedekad mereka bergandingan — pingat emas Sukan Olimpik.

Beregu lelaki nombor satu negara itu mengakui kepulangan mereka sebagai satu pasangan membawa makna istimewa ketika misi menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) menjadi keutamaan utama.

Wooi Yik berkata, selepas melalui pelbagai pencapaian bersama, masih terdapat satu impian besar yang mahu mereka kejar sehingga penghujung perjalanan.

“Kami masing-masing mempunyai impian yang belum dicapai dan masih ada sesuatu untuk diperjuangkan.

“Fokus saya sudah tentu LA28 dan kami berharap dapat mempamerkan permainan lebih matang,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Kenyataan itu dibuat selepas Aaron-Soh memulakan semula kempen Jelajah Dunia sebagai pasangan tetap dengan kemenangan ke atas juara bertahan Terbuka Denmark dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Pasangan ranking keempat dunia itu menang 21-19, 14-21, 21-11 dalam pertarungan selama 51 minit di Odense.

Kemenangan tersebut menjadi pembukaan positif selepas mereka melalui tempoh beberapa bulan tidak beraksi bersama secara tetap.

Aaron-Soh sebelum ini dipisahkan sementara susulan eksperimen gandingan yang dilaksanakan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, sejak Jun lalu.

Sepanjang tempoh itu, Aaron digandingkan dengan pemain muda, Aaron Tai, dan berjaya mara ke final Terbuka Taiwan.

Wooi Yik pula bergandingan bersama Man Wei Chong dan muncul naib juara Masters Korea.

Namun, pasangan yang sudah bergandingan selama 10 tahun itu disatukan semula pada Kejohanan Dunia di New Delhi, India pada Ogos lalu.

Kembalinya mereka terus menghasilkan keputusan besar apabila Aaron-Soh mara sehingga final dan muncul naib juara dunia.

Prestasi tersebut mendorong kedua-duanya memohon untuk kembali bergandingan secara tetap.

Permintaan itu kemudiannya mendapat persetujuan selepas perbincangan membabitkan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei, bersama barisan kejurulatihan negara.

Keputusan itu membuka laluan untuk Aaron-Soh terus bersama sehingga LA28.

Mereka sebelum ini sudah dua kali berdiri di podium Olimpik apabila meraih pingat gangsa di Tokyo 2020 dan Paris 2024.

Namun, emas masih menjadi pencapaian yang belum berjaya mereka miliki.

Aaron percaya perjalanan menuju Los Angeles kini berada di landasan yang tepat.

“Saya fikir kami berada di landasan yang betul. Tahun ini tinggal dua hingga tiga bulan lagi dan kami akan melakukan yang terbaik dalam persiapan seterusnya sepanjang 2027,” katanya.

Bagi Aaron-Soh, kemenangan ke atas Hoki-Kobayashi bukan sekadar tiket ke pusingan seterusnya.

Ia menjadi langkah pertama dalam fasa baharu selepas mereka membuat keputusan untuk meneruskan perjuangan bersama.

Selepas dua gangsa Olimpik, satu gelaran dunia dan pengalaman sedekad sebagai pasangan, satu misi masih belum selesai.

LA28 kini menjadi destinasi utama.