Pemenang perlumbaan pecut Formula Satu (F1) Singapura, Max Verstappen, dan naib juara Lewis Hamilton berpendapat Litar Marina Bay perlu direka semula jika mahu menghasilkan perlumbaan lebih menarik pada masa depan.
Kedua-dua pelumba berpengalaman itu menyuarakan pandangan selepas perlumbaan pecut sulung di Singapura yang berlangsung dalam keadaan mencabar akibat hujan dan kekurangan peluang untuk memotong.
Hujan menyebabkan permulaan perlumbaan tertangguh, manakala karakter litar jalan raya berkenaan sekali lagi menyukarkan pelumba untuk melakukan serangan secara terus.
Verstappen yang bermula dari petak utama berjaya mempertahankan kedudukan sehingga tamat untuk meraih kemenangan pertamanya di Marina Bay.
Namun, pelumba Red Bull itu tetap mengakui format perlumbaan pecut kurang sesuai di litar yang mempunyai peluang memotong terhad.
“Saya rasa kita tidak sepatutnya mengadakan perlumbaan pecut di litar yang menyukarkan pelumba memotong,” katanya.
“Saya tiada masalah, saya hanya melakukan tugas saya tetapi perlumbaan seperti ini bukanlah sesuatu yang saya gemari.
“Mod memotong hampir tidak memberi kesan di sini. Anda tidak memperoleh banyak kelebihan di laluan lurus. Kita perlukan laluan lurus yang lebih panjang atau selekoh tajam berbentuk ‘hairpin’ lebih sesuai untuk memotong.”
Perlumbaan itu tetap menghasilkan beberapa detik dramatik, tetapi kebanyakannya berpunca daripada kemalangan dan keadaan trek.
George Russell dari Mercedes terbabas dan merempuh dinding di selekoh terakhir pada pusingan pertama ketika sedang mendahului perlumbaan.
Dua jentera McLaren pula bertembung pada pusingan terakhir ketika berebut kedudukan terakhir podium.
Secara keseluruhan, sembilan jentera gagal menamatkan perlumbaan, manakala enam daripada 20 pusingan berlangsung di belakang kereta keselamatan.
Rekod perlumbaan di Singapura juga memperlihatkan betapa pentingnya kedudukan permulaan apabila 11 daripada 16 perlumbaan terdahulu dimenangi pelumba yang bermula dari petak utama.
Hamilton turut berkongsi pandangan hampir sama dengan Verstappen.
“Saya suka berlumba di sini, tetapi saya baru sahaja memberitahu Max bahawa saya rasa mereka perlu mengubah litar ini, mungkin dengan menyediakan laluan lurus lebih panjang supaya ia benar-benar menjadi litar perlumbaan yang hebat,” katanya.
“Ia litar yang hebat untuk dipandu dalam satu pusingan dan sesi kelayakan, tetapi sebenarnya hanya ada satu tempat yang membolehkan pelumba menghampiri lawan untuk melakukan percubaan memotong.
“Saya fikir perlumbaan tadi menyeronokkan, tetapi jika berlangsung dalam keadaan kering, ia mungkin menjadi perlumbaan paling membosankan untuk ditonton. Hujanlah yang menjadikannya menarik.”
Perlumbaan pecut Singapura menjadi aksi keenam dan terakhir format itu musim ini.
Pemenang perlumbaan pecut meraih lapan mata, manakala sesi kelayakan pecut mengambil tempat sesi latihan bebas kedua yang lazimnya berlangsung pada Jumaat.
Singapura tidak termasuk dalam senarai 10 perlumbaan pecut musim depan.
Bagaimanapun, Monaco kekal dalam jadual walaupun Charles Leclerc turut mempersoalkan kesesuaian format tersebut di litar jalan raya.
“Saya rasa perlumbaan pecut tidak sesuai diadakan di litar jalan raya bandar secara umum. Sama ada di sini atau Monaco, saya tidak fikir ia menambah apa-apa kepada hujung minggu perlumbaan,” kata Leclerc yang menamatkan perlumbaan pecut Singapura di tempat ketiga.