Indonesia membawa pulang trofi Piala ASEAN FIFA 2026, namun Harimau Malaya muncul sebagai pasukan yang meraih pertambahan mata ranking FIFA tertinggi selepas berakhirnya kejohanan itu.
Berdasarkan kemas kini ranking zon ASEAN pada 6 Oktober 2026, Malaysia mengumpul tambahan 15.04 mata untuk melonjak tiga anak tangga daripada ranking ke-136 kepada kedudukan ke-133 dunia.
Harimau Malaya kini mengumpul 1102.09 mata secara keseluruhan.
Peningkatan tersebut mengatasi juara kejohanan, Indonesia, yang memperoleh tambahan 9.45 mata untuk naik satu anak tangga ke ranking ke-117 dunia dengan 1166.50 mata.
Apa yang membezakan Malaysia ialah konsistensi sepanjang empat perlawanan.
Skuad negara menamatkan Piala ASEAN FIFA 2026 tanpa kalah dan lebih menarik, gawang Harimau Malaya langsung tidak dibolosi sepanjang kejohanan.
Kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh pada aksi pembukaan memberikan Malaysia tambahan 3.30 mata.
Keputusan seri 0-0 dengan Indonesia selepas itu menyumbang 0.68 mata sebelum kemenangan 6-0 ke atas Singapura menghadiahkan tambahan 4.74 mata.
Malaysia kemudian melengkapkan kempen dengan menewaskan Vietnam 1-0 dalam perebutan tempat ketiga, keputusan yang memberikan tambahan 6.33 mata.
Empat keputusan itu membolehkan Harimau Malaya mengumpul keseluruhan 15.04 mata, jumlah tertinggi dalam kemas kini kali ini.
Thailand kekal menjadi pasukan ASEAN dengan kedudukan terbaik di ranking dunia apabila menghuni tangga ke-93.
Skuad Gajah Perang yang muncul naib juara bagaimanapun kehilangan 0.84 mata dan kekal dengan 1251.42 mata.
Vietnam pula menerima kesan lebih besar apabila kehilangan 5.73 mata dan jatuh satu kedudukan ke ranking ke-99 dunia dengan 1231.29 mata.
Singapura mencatat penurunan mata paling besar dalam senarai tersebut apabila kehilangan 8.41 mata dan merosot tiga anak tangga ke ranking ke-149 dunia.
Indonesia pula tetap mendapat manfaat daripada kejayaan mereka apabila melonjak satu tangga selepas dinobatkan sebagai juara sulung.
Namun, jika ukuran dibuat berdasarkan pertambahan mata FIFA, Malaysia berada di hadapan.
Harimau Malaya menghasilkan tiga kemenangan dan satu keputusan seri, menjaringkan 10 gol serta tidak melepaskan satu pun jaringan.
Jadi, walaupun Malaysia tidak mengangkat trofi, angka ranking memberikan gambaran bahawa skuad negara tetap meninggalkan Piala ASEAN FIFA 2026 dengan pulangan sangat besar.
Tempat ketiga disertai lonjakan tiga anak tangga ke ranking ke-133 dunia menjadi satu lagi pencapaian positif buat Harimau Malaya.