Kang Khai Xing tidak mahu terburu-buru memikirkan kemungkinan kembali bergandingan bersama Aaron Tai meskipun mengakui kecewa apabila pasangan mereka dipisahkan.
Pemain beregu lelaki negara berusia 20 tahun itu sebaliknya mahu menggunakan tempoh sekarang untuk memperbaiki kelemahan sendiri sebelum mempertimbangkan semula gandingan yang pernah membawa mereka muncul juara dunia remaja.
Khai Xing berkata, fokus utama ketika ini ialah meningkatkan tahap kecergasan, khususnya dari segi kepantasan dan kuasa ketika berada di gelanggang.
“Saya sedikit kecewa selepas dipisahkan dengan Aaron. Bagi tempoh dua atau tiga minggu kebelakangan ini, saya memberi tumpuan kepada keadaan fizikal, khususnya kepantasan dan kuasa di gelanggang. Setakat ini, saya rasa ada peningkatan,” katanya selepas latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Pemisahan Khai Xing dan Aaron dilakukan ketika barisan kejurulatihan beregu lelaki negara sedang mencuba beberapa kombinasi berbeza.
Selepas tidak lagi bersama Aaron, Khai Xing terlebih dahulu digandingkan dengan Wan Arif Junaidi sebelum kini dipasangkan bersama Lok Hong Quan.
Aaron pula mencuba beberapa gandingan lain apabila tampil bersama Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dalam beberapa kejohanan Jelajah Dunia.
Bagaimanapun, Khai Xing tidak mahu terlalu memikirkan soal siapa pasangannya pada masa ini.
Baginya, meningkatkan tahap permainan sendiri lebih penting sebelum sebarang keputusan mengenai kemungkinan kembali bersama Aaron dibuat.
“Buat masa ini, saya hanya fokus kepada diri sendiri. Jika saya belum bersedia, tiada gunanya untuk menyambung semula gandingan dengannya,” katanya.
Pendekatan itu selari dengan cabaran yang diberikan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, yang mahu Khai Xing meningkatkan lagi kualiti permainannya.
Dalam masa sama, pemain kelahiran Kelantan itu tetap melihat nilai besar pada gandingan lamanya bersama Aaron.
Pasangan tersebut sudah berada di kedudukan ranking ke-18 dunia dan Khai Xing percaya pemisahan kekal mungkin merugikan kerana mereka terpaksa membina semula kedudukan apabila beraksi dengan pasangan baharu.
“Saya akan terus mencuba. Namun, ranking kami sudah agak tinggi, jadi jika bertukar pasangan, kami perlu bermula semula dari Siri Masa Depan dan itu akan menyukarkan keadaan. Jika berpisah secara kekal, ia satu pembaziran besar,” katanya.
Ujian pertama Khai Xing bersama Hong Quan akan hadir pada Malaysia Super 100 di Iskandar Puteri minggu depan.
Sementara itu, Aaron dijadual bergandingan dengan Yap Roy King dalam Terbuka Artik di Finland bermula esok.
Buat Khai Xing, apa juga keputusan mengenai gandingan pada masa depan hanya boleh difikirkan selepas dia benar-benar yakin sudah mencapai tahap permainan yang diperlukan.