sukan

Ronaldo akhirnya buka mulut sebab tinggalkan kem latihan Portugal

Masa depan Cristiano Ronaldo bersama skuad kebangsaan Portugal kini menjadi tanda tanya selepas penyerang berusia 41 tahun itu meninggalkan kem latihan pasukan di Copenhagen secara mengejut, semalam, hanya sehari sebelum aksi Liga Negara-Negara menentang Denmark.

Perkembangan itu berlaku tidak lama selepas pengendali Portugal, Jorge Jesus mengakui wujud ketegangan antara beliau dan Ronaldo, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kedudukan penyerang berpengalaman itu dalam skuad kebangsaan.

Ronaldo mengesahkan menerusi Instagram bahawa keputusan meninggalkan kem dibuat selepas sidang media Jesus dan selepas beliau berbincang dengan Presiden Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF), Pedro Proenca.

“Saya memutuskan untuk meninggalkan kem latihan pasukan kebangsaan selepas sidang media pengendali pasukan dan selepas berbincang dengan Presiden Persekutuan Bolasepak Portugal.

“Pada masa yang sesuai, saya akan memberitahu semua rakyat Portugal perkara sebenar mengenai sebab saya meninggalkan pasukan kebangsaan yang sentiasa saya berikan komitmen sepenuhnya.

“Sekarang masanya untuk mendoakan yang terbaik buat Portugal dan semua rakan sepasukan saya, tanpa pengecualian,” tulis Ronaldo.

FPF kemudian mengesahkan Ronaldo sudah meninggalkan kem, namun menegaskan persiapan menghadapi Denmark dan perlawanan di laman sendiri menentang Norway pada Ahad akan diteruskan seperti dirancang bersama baki 24 pemain.

“Keseluruhan skuad kekal fokus sepenuhnya terhadap perlawanan pasukan kebangsaan yang akan datang dan mencapai objektif ditetapkan,” kata kenyataan FPF.

Situasi itu menambahkan tekanan terhadap Jesus yang baru mengendalikan Portugal dalam dua perlawanan selepas menggantikan Roberto Martinez susulan kempen Piala Dunia 2026 yang mengecewakan.

Sebelum Ronaldo meninggalkan kem, Jesus menafikan dakwaan pemain itu enggan menjalani latihan.

“Dia tidak menolak. Dia akan berlatih hari ini.

“Ini hari keempat, jadi dia akan berlatih. Dan dia tidak menolak untuk berlatih. Mustahil. Kamu percaya? Bukan Cris,” kata Jesus.

Jesus turut menegaskan tiada insiden berlaku walaupun mengakui sudah bercakap dengan Ronaldo.

“Mereka memaksa saya bercakap dengan Cris mengenai isu yang sebenarnya tidak wujud. Tiada apa yang perlu dibincangkan.

“Dia berkata, ‘Saya di sini untuk anda membuat keputusan. Jika anda mahu saya bermain, saya akan bermain. Jika anda mahu saya ke tempat duduk penonton, saya akan pergi’,” katanya.

Ronaldo tidak diturunkan ketika Portugal menewaskan Norway 2-1 di tempat lawan Ahad lalu walaupun Jesus sebelum itu memaklumkan dia akan dimasukkan sebagai pemain gantian.

Penyerang itu kemudian menjalani latihan di gimnasium pada Isnin dan Selasa, bukannya bersama skuad, walaupun tidak mengalami kecederaan.

“Ronaldo marah kepada saya, tetapi bagi saya, perkara itu sudah berlalu,” tambah Jesus.

Reuters mengesahkan jet peribadi Ronaldo berlepas dari Madrid pada jam 7.49 malam waktu tempatan menuju Copenhagen dan dijadualkan kembali ke ibu negara Sepanyol itu pada jam 11.30 malam.

Beberapa media Portugal turut melaporkan Ronaldo meninggalkan Stadium Parken beberapa minit selepas Jesus bercakap kepada pemberita.

A Bola pula menyiarkan video yang dipercayai menunjukkan Ronaldo meninggalkan stadium menaiki kenderaan FPF tidak lama selepas Jesus memaklumkan bahawa penyerang itu akan menjalani latihan.

Ronaldo kekal sebagai penjaring terbanyak Portugal dengan 146 gol dan pemain paling banyak membuat penampilan antarabangsa dengan 234 perlawanan.

Minggu lalu, beliau berkata media cuba “membunuh” reputasinya selama bertahun-tahun dan menegaskan bahawa beliau boleh meninggalkan pasukan “hari ini” jika pengendali tidak mahu dirinya berada dalam skuad.