Zulkifli Abd Razak dan Afifudin Razali menutup perjalanan mereka di pentas Sukan Asia dengan pencapaian yang sukar dilupakan apabila membantu skuad sepak takraw negara meraih satu pingat emas dan satu perak pada temasya Aichi-Nagoya 2026.
Lebih istimewa, kejayaan itu hadir pada penampilan terakhir kedua-dua pemain berkenaan di Sukan Asia.
Zulkifli yang lebih dikenali sebagai “Sobey” bersama Afifudin menjadi sebahagian daripada skuad Malaysia yang mencipta sejarah menamatkan kemarau 36 tahun dalam acara regu berpasukan.
Malaysia turut menambah pingat perak menerusi acara regu, sekali gus mengulangi pencapaian yang dilakukan pada edisi Hangzhou 2022.
Gabungan dua pencapaian itu menjadikan Aichi-Nagoya sebagai penutup cukup bermakna buat kedua-dua pemain berpengalaman berkenaan.
Bagi Zulkifli, kejayaan meraih satu emas dan satu perak memberikan kepuasan besar sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada pentas Sukan Asia.
“Syukur dengan kejayaan satu emas dan satu perak.
“Rasanya inilah Sukan Asia terakhir untuk saya dan saya amat berpuas hati.
“Sukan SEA Insya-Allah (saya akan sertai),” kata tekong negara itu.
Walaupun menganggap karier Sukan Asia sudah sampai ke penghujungnya, Zulkifli belum mahu meninggalkan skuad negara sepenuhnya.
Tekong itu masih menyimpan hasrat untuk bersama pasukan kendalian Ahmad Jais Baharun dalam misi mempertahankan dua pingat emas pada Sukan SEA Malaysia 2027.
Afifudin turut membuat keputusan sama apabila mengesahkan bahawa penampilannya di Aichi-Nagoya menjadi yang terakhir di temasya Sukan Asia.
Namun, beliau juga masih mahu beraksi pada Sukan SEA tahun depan.
“Saya pun sama seperti Sobey. Ini penyertaan Sukan Asia terakhir untuk saya.
“Tapi tahun depan Sukan SEA di Malaysia, Insya-Allah saya (akan beraksi),” katanya.
Keputusan kedua-dua pemain untuk terus bersama pasukan sekurang-kurangnya sehingga Sukan SEA memberi kesinambungan kepada skuad negara selepas kejayaan besar yang dicapai di Aichi-Nagoya.
Selepas membantu Malaysia menamatkan penantian panjang selama 36 tahun dalam acara regu berpasukan, tumpuan kini beralih kepada cabaran seterusnya di laman sendiri.
Bagi Zulkifli dan Afifudin, Aichi-Nagoya menjadi penamat terbaik untuk perjalanan mereka di Sukan Asia.
Namun, tugas mereka bersama skuad kebangsaan masih belum selesai.
Sukan SEA Malaysia 2027 kini menjadi sasaran terakhir yang mahu disempurnakan dengan harapan dapat membantu negara mempertahankan dua pingat emas dan mengekalkan momentum positif yang dibina pada temasya kali ini.