sukan

Malaysia bangkit bergaya keatas gergasi Dunia di Piala Asia 2026

Azrai Aizad Abu Kamal muncul wira Speedy Tigers apabila jaringan pada minit ke-57 memastikan Malaysia menewaskan Pakistan 5-4, sekali gus mengesahkan tiket ke separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Aksi Kumpulan B di Stadium Green Wilayah Gifu itu menyaksikan skuad kendalian Brendon Carolan terpaksa bangkit daripada kedudukan 3-4 sebelum dua jaringan dalam tempoh dua minit pada penghujung perlawanan memastikan kemenangan keempat berturut-turut buat Malaysia.

Pakistan terlebih dahulu mengejutkan Speedy Tigers seawal minit ketiga menerusi Sufyan Khan, namun kelebihan itu tidak bertahan lama.

Shello Silverius menyamakan kedudukan hanya dua minit kemudian untuk mengembalikan keyakinan Malaysia selepas permulaan pantas lawan.

Speedy Tigers kemudian berjaya mendahului 2-1 menerusi Faizal Saari pada minit ke-23. Faizal memanfaatkan pukulan sudut penalti untuk meletakkan Malaysia di depan dan kedudukan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Namun, perjalanan perlawanan berubah pada suku ketiga apabila Pakistan meningkatkan tekanan menerusi Sufyan.

Sufyan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-39 dan 43 sebelum Faizal membalas dengan gol keduanya pada minit ke-45, juga menerusi situasi pukulan sudut penalti.

Pakistan kembali berada di depan apabila Sufyan sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-46 untuk meletakkan Malaysia ketinggalan 3-4.

Situasi itu menuntut reaksi segera daripada Speedy Tigers apabila perlawanan memasuki suku terakhir. Malaysia terus menekan bagi mengelakkan kekalahan pertama dalam saingan kumpulan.

Kesabaran itu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-56 apabila Shello menjaringkan gol keduanya untuk menyamakan kedudukan 4-4.

Belum sempat Pakistan menyusun semula permainan, Azrai menghasilkan jaringan kelima Malaysia seminit kemudian untuk melengkapkan kebangkitan 5-4.

Keputusan tersebut mengekalkan rekod sempurna Speedy Tigers dalam Kumpulan B selepas mereka sebelum ini mencatat kemenangan 7-0 ke atas Uzbekistan, 7-0 ke atas Oman dan 10-0 ketika menentang Thailand.

Empat kemenangan berturut-turut itu sudah mencukupi untuk memastikan Malaysia mara ke separuh akhir.

Walaupun tiket ke peringkat kalah mati sudah berada dalam genggaman, tugas peringkat kumpulan masih belum selesai.

Malaysia dijadual menentang China pada Isnin ini dalam aksi terakhir kumpulan, dengan pertemuan tersebut menjadi satu lagi ujian penting untuk Speedy Tigers mengekalkan momentum selepas berjaya melalui cabaran sengit Pakistan.