sukan

Sorakan penyokong Indonesia makin bakar semangat Harimau Malaya

Mohamad Faisal Abdul Halim mahu rakan sepasukannya kekal tenang dan tidak terpengaruh dengan provokasi penyokong Indonesia apabila Harimau Malaya turun beraksi di Stadium Gelora Bung Karno dalam saingan Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026, esok.

Pemain sayap kebangsaan itu percaya suasana yang bakal dihadapi di GBK boleh digunakan secara positif sekiranya pemain mampu mengawal emosi serta memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugasan di atas padang.

Menurut Faisal, persediaan dari sudut fizikal dan mental menjadi aspek utama sebelum Malaysia berdepan Indonesia dalam aksi kedua kumpulan.

“Kita tak perlu risau ataupun khuatir dengan provokasi oleh penyokong Indonesia. Apa yang saya harap, semua rakan-rakan saya bersiap sedia dari segi fizikal dan mental.

“Di dalam padang kita hanya bermain 11 lawan 11. Penyokong hanya boleh memberi semangat dan sorakan. Kita anggap penyokong Indonesia itu sebagai penyokong kita sendiri juga untuk memberi semangat kepada pasukan,” katanya kepada media pada sesi latihan pasukan di sini, sebentar tadi.

Pemain Selangor FC itu turut menegaskan bahawa pemain tidak mempunyai sebab untuk terlalu memikirkan suasana di luar padang.

Sebaliknya, fokus perlu diberikan kepada pelaksanaan permainan dan usaha memastikan Malaysia dapat memberikan saingan terbaik sepanjang 90 minit.

Faisal mengakui perlawanan berdepan Indonesia dijangka mencabar, terutama selepas skuad Garuda memulakan kempen dengan kemenangan 2-0 ke atas Singapura.

Dia turut melihat Indonesia sebagai pasukan yang mempamerkan permainan teratur dalam aksi tersebut.

Namun, Faisal percaya Harimau Malaya juga memiliki kekuatan dan kualiti tersendiri yang boleh digunakan untuk mencabar tuan rumah.

Persiapan rapi dan kerja keras, menurutnya, akan memainkan peranan besar dalam usaha memburu keputusan positif di GBK.

Jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, turut membawa mesej serupa kepada pemain.

Beliau mahu suasana meriah di stadium diterima sebagai satu kelebihan dari sudut motivasi dan bukannya tekanan.

“Saya rasa suasana tersebut memberi kita lebih bersemangat dan lebih bermotivasi kerana lebih baik bermain di hadapan 100,000 penyokong berbanding 1,000 orang,” katanya.

Pada masa sama, Cheng Hoe menekankan keperluan pemain mengawal emosi dan tidak mudah terikut dengan provokasi yang boleh menyebabkan mereka hilang fokus dalam perlawanan.

Malaysia dan Indonesia sama-sama memasuki pertemuan itu dengan tiga mata selepas masing-masing memenangi aksi pembukaan.

Harimau Malaya menewaskan Bangladesh 3-0 pada Jumaat lalu, manakala Indonesia mengatasi Singapura 2-0.

Selepas pertemuan di GBK, Malaysia akan melengkapkan jadual peringkat kumpulan dengan menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat pada Khamis ini.