sukan

Puripol belum puas, mahu terus mengganas

Dua pingat emas dan deretan rekod pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 masih belum cukup untuk memuaskan jaguh pecut Thailand, Puripol Boonson, yang mahu terus mencabar kemampuan diri dan menghasilkan catatan lebih pantas pada masa depan.

Pelari berusia 20 tahun itu menjadi antara atlet paling menyerlah dalam acara olahraga selepas menguasai 100 meter dan 200m dengan prestasi luar biasa.

Puripol memulakan penguasaannya dalam acara 100m apabila mencatat 9.91 saat pada separuh akhir untuk memecahkan rekod temasya.

Dia kemudian kembali memperbaharui rekod itu dalam aksi final dengan catatan 9.90s, sekali gus memastikan pingat emas menjadi miliknya.

Tidak berhenti di situ, Puripol meneruskan rentak sama dalam 200m.

Pada peringkat separuh akhir, dia mencatat 20.10s untuk memadam rekod temasya 20.14s yang sebelum ini dipegang pelari Qatar, Femi Ogunde sejak Sukan Asia Incheon 2014.

Final 200m menyaksikan Puripol meningkatkan lagi catatannya kepada 19.88s.

Masa tersebut bukan sahaja memberikannya emas kedua di Aichi-Nagoya, malah menyamai rekod Asia milik pelari China, Xie Zhenye, yang dilakukan ketika Liga Berlian London pada 2019.

Selepas pencapaian itu, Puripol tetap melihat masih ada ruang untuk dirinya pergi lebih jauh.

“Saya mungkin tidak boleh memberikan angka tepat mengenai masa yang mampu dicapai selepas ini, tetapi saya berjanji kepada diri sendiri untuk menjadi lebih pantas daripada sekarang dan memecahkan lebih banyak rekod,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan 200m.

Puripol berkata, komitmen terhadap latihan dan keazaman untuk mencapai sasaran menjadi asas kepada peningkatan prestasinya.

“Latihan… dan mempunyai keazaman. Saya berlatih dengan bersungguh-sungguh, bekerja keras dan memberikan segala-galanya,” katanya.

Dalam masa sama, aspek mental turut dianggap penting apabila berdepan tekanan pertandingan besar.

“Saya rasa tidak banyak perbezaan sebelum datang dan ketika bertanding. Cuma mungkin lebih teruja kerana kami datang dengan keinginan untuk memenangi pingat,” katanya.

Perjalanan Puripol dalam arena pecut berkembang pantas sejak dia meraih tiga emas dalam acara 100m, 200m dan 4x100m pada Sukan SEA Hanoi 2021 ketika baru berusia 16 tahun.

Pada Sukan Asia Hangzhou 2022, dia memenangi pingat perak 100m di belakang Xie Zhenye.

Puripol kemudian menambah satu lagi perak menerusi Kejohanan Dunia Bawah 20 Tahun 2024 di Lima, Peru.

Tahun lalu, dia kembali mencipta sejarah apabila menjadi pelari pecut Asia Tenggara pertama memecahkan tembok 10 saat dengan catatan 9.94s pada Sukan SEA Bangkok 2025.

Kini, selepas melakar 9.90s dalam 100m dan 19.88s dalam 200m di Aichi-Nagoya, Puripol terus membawa sasaran yang lebih besar.

Dalam memburu legasi itu, dia menjadikan Usain Bolt sebagai sumber inspirasi.

Legenda Jamaica itu masih memegang rekod dunia 100m dengan 9.58s dan 200m dengan 19.19s yang dicatat pada Kejohanan Dunia 2009 di Berlin.

Bagi Puripol, kejayaan di Aichi-Nagoya bukan alasan untuk berasa selesa, sebaliknya menjadi asas untuk terus bekerja keras dan memperbaharui had kemampuan sendiri.