Kemarau pingat emas Malaysia dalam acara beregu lelaki Sukan Asia terus berpanjangan selepas cabaran negara di Aichi-Nagoya 2026 berakhir tanpa sebarang pingat.
Harapan Malaysia pada edisi kali ini diletakkan kepada dua pasangan utama, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Chia-Tee Kai Wun, namun kedua-duanya gagal melangkah ke peringkat separuh akhir.
Sze Fei-Izzuddin yang berada di ranking keenam dunia menjadi pasangan terakhir negara tersingkir apabila tewas kepada pemenang pingat perak Olimpik Paris 2024 dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, 13-21, 11-21 dalam aksi suku akhir di Ichinomiya City Municipal Gymnasium.
Sehari sebelumnya, perjalanan Aaron-Kai Wun sudah terhenti pada pusingan kedua selepas mereka tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Keputusan itu bermakna Malaysia gagal membawa pulang pingat dalam acara beregu lelaki, berbeza dengan pencapaian pada Hangzhou 2022 apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyumbang gangsa.
Penantian terhadap pingat emas pula terus berpanjangan selepas kali terakhir Malaysia muncul juara acara itu menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada Sukan Asia Doha 2006 di Qatar.
Bagi Sze Fei-Izzuddin, kegagalan kali ini tidak mahu dijadikan noktah kepada perjalanan mereka. Sebaliknya, pasangan profesional negara itu mahu menggunakan pengalaman berkenaan sebagai cabaran untuk memperbaiki kelemahan dan memburu kejayaan lain.
“Kecewa itu memang ada, tetapi kami anggap ini satu cabaran untuk kami memperbaiki diri dan masih banyak lagi gelaran yang kami belum dapat,” kata Izzuddin ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Sze Fei pula mengakui mereka tidak dapat menampilkan tahap permainan terbaik ketika berdepan Liang-Wang, terutama apabila terlalu banyak berada dalam situasi bertahan.
“Saya rasa dalam perlawanan hari ini kami bermain dengan sedikit ragu-ragu. Pada set kedua, kami banyak berada dalam posisi bertahan dan itu antara perkara yang perlu kami perbaiki,” katanya.
Walaupun kempen Sukan Asia berakhir tanpa pingat, Sze Fei-Izzuddin menikmati prestasi memberangsangkan musim ini dengan menjuarai Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia, selain muncul naib juara Masters Malaysia.
Namun, mereka sedar tahap permainan masih perlu dipertingkatkan untuk terus bersaing dengan pasangan elit dunia.
Selepas Aichi-Nagoya, fokus Sze Fei-Izzuddin beralih kepada dua kejohanan Jelajah Dunia di Eropah, bermula Terbuka Denmark dari 13 hingga 18 Oktober sebelum Terbuka Perancis dari 20 hingga 25 Oktober.
“Kami akan fokus kepada kejohanan yang terdekat dahulu, iaitu Denmark dan Perancis,” kata Izzuddin.
Menurutnya, pengalaman bersama skuad negara pada Sukan Asia turut memberi banyak pengajaran, khususnya daripada semangat juang rakan sepasukan dalam acara berpasukan serta bimbingan barisan kejurulatihan berpengalaman.
“Memang banyak kami belajar daripada semangat kesukanan pasukan dalam acara berpasukan dan juga daripada jurulatih-jurulatih lain di sini,” katanya.