Skuad hoki lelaki negara semakin menghampiri sasaran ke separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas mencatat kemenangan besar 10-0 ke atas Thailand dalam aksi ketiga Kumpulan B, hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan Speedy Tigers mengekalkan rekod sempurna selepas turut mencatat kemenangan bergaya ke atas Uzbekistan dan Oman dalam dua perlawanan terdahulu. Tiga kemenangan berturut-turut memberi Malaysia kedudukan lebih selesa sebelum mengharungi dua aksi terakhir kumpulan menentang Pakistan dan China.
Malaysia mula memecah kebuntuan menerusi pukulan sudut penalti Faizal Saari pada minit ke-18 sebelum Muhajir Abdu Rauf menambah jaringan kedua hanya dua minit kemudian.
Tekanan berterusan Malaysia membuahkan hasil apabila Azrai Aizad Abu Kamal menjadikan kedudukan 3-0 menerusi jaringan padang pada minit ke-21. Aminuddin Zain kemudian menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-28 untuk menghasilkan gol keempat.
Faizal kembali menemui sasaran pada minit ke-35 sebelum Ashran Hamsani turut mencatat nama sebagai penjaring pada minit sama, sekali gus membolehkan Malaysia menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan selesa 6-0.
Dominasi Malaysia berterusan selepas rehat apabila Azrai meledak gol keduanya pada minit ke-41. Shello Silverius menjadikan kedudukan 8-0 pada minit ke-55, sebelum Faiz Helmi Jali dan Akhimullah Anuar Esook melengkapkan kemenangan 10-0 menerusi jaringan pada minit ke-59 dan 60.
Ketua jurulatih negara, Brendan Carolan, berkata tiga kemenangan awal meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang baik, namun menegaskan dua perlawanan terakhir khususnya menentang Pakistan akan memainkan peranan penting dalam menentukan kedudukan akhir kumpulan.
“Kami mempunyai dua hari untuk pulih sebelum berdepan Pakistan dan itu adalah perlawanan yang sangat penting. Saya fikir tiga perlawanan pertama sudah meletakkan kami dalam kedudukan yang baik.
“Kami kini cuba menggunakan prinsip permainan yang berbeza berdasarkan apa yang mungkin kami hadapi dalam dua perlawanan akan datang.
“Sudah tentu kami tahu perlu memenangi dua perlawanan seterusnya untuk menjuarai kumpulan dan pada masa sama memberi tekanan kepada mereka,” katanya.
Menurut jurulatih kelahiran Afrika Selatan itu, tiga perlawanan pertama turut digunakan untuk mempersiapkan pasukan menghadapi tahap cabaran yang lebih tinggi, termasuk membuat beberapa penyesuaian taktikal berdasarkan keperluan permainan.
“Begitulah keadaannya. Kami memberi tumpuan kepada beberapa perkara dalam tiga perlawanan pertama supaya bersedia untuk dua aksi seterusnya.
“Saya fikir pemain semakin baik dan mereka berada dalam keadaan yang bagus. Kami sememangnya pasukan yang baik dalam serangan, jadi lawan akan cuba melakukan lebih baik dalam menangani pukulan sudut penalti kami dan itu adalah antara perkara yang perlu kami ubah suai,” katanya.
Dalam masa sama, Carolan mahu aspek pertahanan ketika menghadapi pukulan sudut penalti lawan dipertingkatkan bagi mengelakkan Malaysia memberikan peluang mudah kepada pencabar.
“Saya fikir itu antara perkara kritikal yang perlu kami perbaiki. Kami perlu memastikan tidak memberikan terlalu banyak pukulan sudut penalti kepada lawan dan pada masa sama memastikan pertahanan pukulan sudut penalti kami berada pada tahap yang baik.
“Kami sedar apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan keputusan positif menentang mereka,” katanya.
Tempoh rehat dua hari sebelum pertemuan dengan Pakistan kini menjadi ruang penting untuk pemain memulihkan keadaan fizikal dan membuat persediaan bagi cabaran seterusnya.
Malaysia perlu mengekalkan momentum kemenangan, selain terus memperkemas struktur pertahanan dan keberkesanan pukulan sudut penalti bagi memastikan tiga kemenangan awal dapat diterjemahkan kepada kemaraan ke separuh akhir.