sukan

Saya tidak kisah — Aaron Chia

Kombinasi pecahan Aaron Chia-Tee Kai Wun menunjukkan kemampuan menyesuaikan diri di gelanggang apabila bangkit menewaskan Leo Rolly Carnado-Daniel Marthin dalam aksi suku akhir berpasukan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, semalam.

Beraksi di Ichinomiya City Municipal Gymnasium, pasangan negara kehilangan set pertama 17-21 sebelum memperkemaskan permainan untuk memenangi dua set berikutnya 21-16, 21-13.

Kejayaan itu membolehkan Aaron-Kai Wun menyumbang satu mata kepada Malaysia, namun skuad negara tetap gagal melangkah ke separuh akhir selepas tewas 3-2 kepada Indonesia.

Pertemuan berkenaan juga menyaksikan Aaron dan Kai Wun bergandingan buat kali kedua sebagai pasangan pecahan. Kali pertama mereka diturunkan bersama adalah ketika Piala Thomas 2026 pada April lalu, apabila menewaskan pasangan Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi dalam aksi peringkat kumpulan.

Bagi Aaron, tidak membawa status sebagai pasangan sebenar memberikan ruang kepada mereka untuk bermain dengan lebih bebas dan tenang tanpa dibebani tekanan berlebihan.

“Saya rasa permainan hari ini (semalam), kami tidak ada tekanan sangat kerana mereka adalah pasangan sebenar, manakala kami pula gandingan pecahan. Jadi kami boleh bermain lebih tenang.

“Mungkin sebab itu corak permainan kami lebih menjadi hari ini,” kata Aaron.

Walaupun bukan pasangan tetap, Aaron tidak melihat perkara itu sebagai halangan besar. Pemain berusia 29 tahun berkenaan menegaskan bahawa dia sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan sesiapa sahaja yang digandingkan bersamanya.

“Bagi saya, saya sentiasa bersedia. Siapa pun pasangan saya, saya tidak kisah. Yang penting apabila berada di gelanggang, saya perlu tunjukkan apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Kai Wun pula mengakui proses mendapatkan keserasian tidak berlaku serta-merta. Mereka berdepan sedikit kesukaran pada permulaan perlawanan, terutama dari aspek pergerakan dan kawalan sebelum mula mendapatkan rentak sebenar pada set kedua.

“Pada permulaan permainan mungkin agak susah untuk bergerak dan ada sedikit masalah kawalan. Tetapi selepas bermula set kedua, saya rasa sudah lebih selesa.

“Kami mula bermain seperti biasa dan tidak melakukan banyak kesilapan,” kata Kai Wun.

Perubahan itu dapat dilihat menerusi keputusan perlawanan apabila mereka berjaya mengatasi kekalahan pada set pembukaan dan mengambil alih kawalan dalam dua set seterusnya. Keupayaan mengurangkan kesilapan memberi mereka ruang untuk mengekalkan konsistensi sehingga menamatkan perlawanan dengan kemenangan.

Namun, keputusan keseluruhan pasukan menyaksikan perjalanan Malaysia dalam acara berpasukan berakhir di peringkat suku akhir.

Aaron kini mahu mengalihkan sepenuh perhatian kepada acara individu dan berharap masih ada peluang untuk membawa pulang pingat buat negara.

“Kami harap sekurang-kurangnya boleh dapat pingat untuk Malaysia. Tetapi berdasarkan undian, kami tidak mempunyai kelebihan kerana tidak diletakkan sebagai pilihan.

“Kami akan cuba buat yang terbaik dan berjuang habis-habisan,” katanya.