sukan

Eogene digelar ‘lembik’

Tekanan dalam acara berpasukan kembali menjadi perhatian selepas pemain perseorangan negara, Eogene Ewe, gagal menyempurnakan tugas pada aksi penentuan ketika Malaysia tewas 2-3 kepada Indonesia pada suku akhir, semalam.

Pemain berusia 21 tahun itu turun dalam perseorangan ketiga dengan kedudukan perlawanan berada pada tahap genting, namun tidak berjaya mengekalkan momentum selepas mendahului 4-0 pada awal set pertama. Eogene yang menghuni ranking ke-81 dunia akhirnya tewas 21-11, 21-11 kepada pemain nombor 28 dunia, Zaki Ubaidillah.

Keputusan berkenaan membawa Indonesia ke separuh akhir dan pada masa sama mengundang kritikan peminat terhadap kemampuan Eogene mengurus tekanan serta menampilkan permainan stabil ketika mata kemenangan pasukan menjadi taruhan.

“Eogene beraksi bawah tekanan untuk menang. Apabila dia terlalu mencuba terlalu keras, dia melakukan lebih banyak kesilapan dan mentalnya tidak sekuat pemain muda Indonesia itu. Ini soal kekuatan mental apabila membabitkan kejohanan berpasukan,” jelas seorang peminat.

Prestasi Eogene turut dibandingkan dengan perkembangan Zaki yang baru berusia 19 tahun tetapi sudah menjuarai Masters Thailand Super 300 tahun ini.

“Tahap pemain perseorangan lelaki Indonesia jauh di hadapan Malaysia. Eogene kelihatan seperti pemain MSSM (Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia) apabila menentang mereka. Dia sudah berusia 21 tahun. Zaki baru 19 tahun tetapi beraksi jauh lebih baik daripadanya,” kata peminat itu di media sosial.

Seorang pengguna media sosial lain pula mempersoalkan perkembangan Eogene sejak pernah diletakkan sebagai antara pemain sandaran.

“Eogene pernah menjadi antara sandaran Misbun (Sidek) tetapi selepas bertahun-tahun, tiada sebarang peningkatan yang kelihatan,” luah pengguna terbabit.

Kritikan lebih keras turut muncul apabila seorang netizen mengaitkan pencapaian Eogene di peringkat domestik dengan tahap semasa perseorangan negara.

“Dia tewas di Sukan Malaysia (SUKMA). Pemain perseorangan kita berada pada tahap yang sama dengan negara seperti Vietnam, Amerika Syarikat dan Kanada,” kata netizen terbabit.

Dalam masa sama, nama Kong Wei Xiang mula disebut sebagai pemain yang wajar diberikan peluang. Pemain berusia 18 tahun itu berada dalam senarai simpanan dan pernah mengheret pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Anthony Ginting, ke set penentuan ketika Malaysia tewas 2-3 kepada Indonesia pada peringkat kumpulan Kejohanan Berpasukan Asia awal tahun ini.

“Adalah lebih baik jika beri peluang kepada Kong Wei Xiang. Dia berada dalam senarai simpanan dan ketika Kejohanan Berpasukan Asia baru-baru ini, dia berjaya mengheret (Anthony) Ginting ke set ketiga,” tambah peminat itu lagi.

Reaksi terhadap Eogene hadir ketika dua lagi perseorangan negara menunjukkan tentangan lebih meyakinkan. Pemain nombor 33 dunia, Leong Jun Hao, berjaya mengejutkan pemain nombor satu dunia, Jonatan Christie, manakala Justin Hoh memberikan saingan sengit sebelum tewas straight-set kepada pemain nombor 10 dunia, Alwi Farhan.

“Pada usia 21 tahun, dia (Eogene) sepatutnya berada di kemuncak persembahan. Pemain senior yang kita ada pula sudah menghampiri penghujung kerjaya, dan persembahan mereka juga tidak konsisten.

“Kadang-kadang sangat cemerlang dan kadang-kadang terus hilang punca,” kata seorang lagi netizen yang merujuk kepada kesukaran yang dihadapi skuad badminton negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.