SEPANG: Max Verstappen menyifatkan kemenangan Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini, sebagai antara kejayaan paling manis dalam kariernya selepas berjaya mengatasi permulaan perlumbaan yang penuh kekacauan.
Pelumba Red Bull Racing itu menamatkan saingan dengan catatan 1 jam 47 minit 14.808 saat untuk meraih kemenangan pertamanya musim ini.
“Ia antara kemenangan yang sangat manis,” katanya.
Verstappen berkata kejayaan tersebut membawa nilai besar selepas melalui musim yang mencabar, selain melihat peningkatan prestasi pasukannya sepanjang tempoh berkenaan.
“Saya sangat bangga dengan semua orang dan ia sangat manis untuk menang di sini,” katanya ketika ditemuramah selepas perlumbaan.
Lebih menarik, kemenangan itu turut mengulangi kejayaan Verstappen di Sepang sembilan tahun lalu ketika GP Malaysia kali terakhir dianjurkan pada 2017.
Namun, perlumbaan kali ini bermula dalam keadaan jauh lebih sukar.
Aksi yang dijadualkan bermula jam 3 petang terpaksa ditunda hampir satu jam setengah apabila hujan lebat menyebabkan banyak air bertakung di beberapa bahagian litar.
Keadaan trek yang berisiko menyebabkan Race Control menangguhkan permulaan atas faktor keselamatan.
Situasi menjadi lebih rumit ketika pusingan formasi di belakang kereta keselamatan apabila beberapa jentera dilaporkan mengalami masalah kehilangan kuasa dan gangguan perisian enjin.
Bendera merah kemudian dikibarkan dan semua kereta diarahkan kembali ke hentian pit.
Verstappen turut melalui detik sukar apabila jenteranya sendiri berdepan masalah kuasa pada awal perlumbaan.
“Ya, ia sangat huru-hara dengan banyak perkara berbeza berlaku pada permulaan.
“Kami membuat keputusan yang tepat dengan menggunakan tayar intermediate dan selepas itu memperbaiki kedudukan. Dari situ saya mengawal perlumbaan sehingga tamat,” katanya.
Keputusan strategi tayar tersebut menjadi antara perkara penting yang membantu Verstappen mendapatkan semula rentak.
Selepas memperbaiki kedudukan, beliau terus mengawal perlumbaan dan tidak memberikan ruang kepada pencabar untuk merampas tempat pertama.
Kimi Antonelli dari Mercedes AMG Petronas menjadi pencabar terdekat dan menamatkan saingan 2.307s di belakang Verstappen.
Antonelli yang bermula dari petak ketiga mengakui tempat kedua merupakan keputusan terbaik yang mampu dicapai pasukannya.
“Saya sangat gembira dapat podium kedua. Ia pengalaman pertama saya di litar ini dan ia menakjubkan. Peminat juga luar biasa sepanjang minggu ini, jadi terima kasih banyak dan harapnya kami akan kembali ke Malaysia pada masa akan datang,” katanya.
Lewis Hamilton dari Ferrari melengkapkan podium di tempat ketiga, 4.919s di belakang Verstappen selepas bermula dari petak kedua.
Charles Leclerc pula menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
Selepas melalui hujan lebat, penangguhan, masalah kuasa dan bendera merah, Verstappen akhirnya berjaya menutup perlumbaan dengan kemenangan yang disifatkannya sendiri sebagai antara paling manis.