sukan

TERKINI : Keputusan penuh aksi suku akhir Berpasukan Lelaki Sukan Asia 2026

Skuad badminton lelaki Malaysia terpaksa melupakan hasrat mara ke separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas kecundang 2-3 kepada Indonesia pada aksi suku akhir.

Pertemuan itu terpaksa ditentukan menerusi perlawanan kelima selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Eogene Ewe yang membawa cabaran negara dalam perseorangan ketiga bagaimanapun tidak dapat mengekang permainan Moh Zaki Ubaidillah sebelum kalah straight set 11-21, 11-21.

Sebelum itu, Leong Jun Hao memberikan mata pertama Malaysia selepas bangkit daripada kekalahan set pembukaan untuk mengatasi Jonatan Christie 20-22, 21-12, 21-17.

Kelebihan itu tidak bertahan lama apabila pasangan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin tewas kepada Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri menerusi pertarungan tiga set 15-21, 21-19, 10-21.

Indonesia kemudiannya mendahului 2-1 selepas Justin Hoh kalah straight set kepada Alwi Farhan dengan keputusan 19-21, 19-21.

Ketika Malaysia berada di ambang penyingkiran, Aaron Chia-Tee Kai Wun tampil memastikan perjuangan negara diteruskan. Mereka bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 17-21, 21-16, 21-13.

Kemenangan itu menyamakan kedudukan 2-2 sebelum pertemuan Moh Zaki dan Eogene menentukan pasukan yang layak ke separuh akhir.

Moh Zaki akhirnya memberikan mata ketiga kepada Indonesia sekali gus menamatkan kempen Malaysia dalam acara berpasukan lelaki di peringkat suku akhir.