sukan

Kem Badminton Malaysia terima berita Positif

Kekuatan sektor beregu wanita negara berpotensi kembali lengkap menjelang suku akhir acara berpasukan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila Noraqilah Maisarah Ramdan disahkan cergas untuk pertemuan menentang Korea Selatan, esok.

Perkembangan itu disahkan Pengarah kejurulatihan beregu kebangsaan, Rexy Mainaky, yang bagaimanapun belum memberi jaminan pemain berkenaan akan berada dalam senarai akhir. Menurutnya, keputusan mengenai penggunaan Noraqilah akan dibuat selepas pasukan menilai keseluruhan keadaan menerusi mesyuarat.

“Okay, tidak ada masalah.

“Kita lihat nanti, kita akan buat mesyuarat pasukan dan kita tengok semua perkara,” kata Rexy ketika ditanya mengenai perkembangan terkini kecederaan Noraqilah.

Noraqilah sebelum ini mengalami kecederaan buku lali kiri semasa sesi latihan dua minggu lalu, sebelum skuad negara berlepas ke Jepun. Faktor kecederaan itu menyebabkan dia tidak disenaraikan dalam kemenangan 3-0 Malaysia ke atas Hong Kong pada pusingan 16 terbaik, semalam.

Dalam aksi berkenaan, Low Zi Yu yang merupakan pasangan Noraqilah digandingkan bersama Cheng Su Yin sebagai beregu kedua. Susunan itu membolehkan Malaysia meneruskan cabaran, namun kepulangan Noraqilah memberi satu lagi pilihan penting menjelang pertemuan yang dijangka lebih mencabar.

Korea Selatan hadir dengan kelebihan besar dalam sektor perseorangan wanita, diterajui pemain nombor satu dunia, An Se Young. Rexy melihat perlawanan itu sebagai penanda aras penting buat pemain perseorangan negara dalam mengukur keupayaan mereka apabila berdepan lawan berprofil tinggi.

“Dengan kekuatan perseorangan mereka, ini akan menjadi kayu pengukur buat perseorangan wanita kita.

“Kalau beregu, kita okey, kita ada Pearly Tan-M Thinaah dan juga Noraqilah-Zi Yu yang pernah membuktikan di Piala Uber apabila mampu mengejutkan beregu Jepun.

“Kita harapkan peluang yang ada ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh beregu wanita,” katanya.

Harapan kepada sektor beregu bukan tanpa asas. Noraqilah-Zi Yu pernah mencatat kemenangan penting ke atas pasangan Jepun yang berada di ranking ketujuh dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi, pada saingan Piala Uber di Horsens, Denmark, Mei lalu.

Rekod itu menjadi rujukan kepada kemampuan pasangan berkenaan untuk bersaing di bawah tekanan dan dalam perlawanan berintensiti tinggi. Bagaimanapun, sama ada Noraqilah akan digunakan bersama Zi Yu menentang Korea Selatan masih bergantung kepada keputusan akhir pasukan.

Menjelang aksi suku akhir, keseimbangan antara kekuatan perseorangan Korea Selatan dan potensi Malaysia di sektor beregu menjadi tumpuan utama. Bagi skuad negara, setiap mata membawa nilai besar, sekali gus menuntut tahap konsistensi, disiplin taktikal dan ketahanan fizikal yang tinggi sepanjang pertemuan.