“Kalau mahu mati, mati dalam gelanggang.”
Itu mesej tegas pengarah kejurulatihan beregu kebangsaan, Rexy Mainaky, kepada barisan pemain negara menjelang pertemuan suku akhir acara berpasukan lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menentang Indonesia, esok.
Malaysia berdepan tugas berat apabila bakal mencabar pasukan pilihan pertama yang dianggap antara calon utama untuk muncul juara. Dalam situasi itu, Rexy menekankan bahawa semangat juang tinggi, keyakinan dan mentaliti tidak mudah menyerah perlu menjadi asas utama skuad negara sepanjang aksi berkenaan.
Menurutnya, pemain tidak boleh terlalu memikirkan status Indonesia sebagai pasukan pilihan. Sebaliknya, setiap pemain perlu memasuki gelanggang dengan kesediaan memberikan segala-galanya dan mengekalkan fokus terhadap tugasan masing-masing.
“Ini bukan sesuatu yang kita boleh cakap ada formula atau bagaimana.
“Sekarang tinggal kepada semangat berpasukan dan pemain mesti masuk ke gelanggang dengan berfikir, ‘I will die on court’,” katanya ketika ditemui selepas Malaysia menewaskan Mongolia 3-0 dalam aksi pusingan 16 terbaik di Ichinomiya City Municipal Gymnasium, hari ini.
Rexy berkata keputusan menurunkan barisan terkuat ketika menentang Mongolia bukan semata-mata untuk memastikan kemenangan. Aksi itu turut digunakan sebagai peluang untuk pemain menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang, memahami faktor angin serta menguji pelaksanaan strategi yang disusun barisan kejurulatihan.
“Untuk acara temasya sukan seperti ini, siapa pun lawan yang kita hadapi, kita tetap akan turunkan pasukan terbaik.
“Kita mahu pemain dapat rasa keadaan gelanggang, bagaimana keadaan angin dan simulasi situasi perlawanan. Kita juga mahu lihat sama ada apa yang sudah dibuat jurulatih boleh dilaksanakan dalam gelanggang,” katanya.
Pengalaman beraksi menentang Mongolia memberi sedikit kelebihan kepada pemain negara kerana mereka sudah merasai keadaan gelanggang sebelum berdepan Indonesia yang mendapat bye pada pusingan 16 terbaik.
“Kita sudah cuba keadaan gelanggang ini dan harap pemain boleh ambil kesempatan daripada kelebihan yang kita dapat hari ini,” katanya.
Pertemuan dengan Indonesia dijangka menjadi ujian sebenar buat Malaysia. Skuad negara perlu tampil pada tahap terbaik sekiranya mahu mencipta kejutan dan meneruskan kemaraan.
Malaysia dijangka mengharapkan kekuatan sektor beregu menerusi Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta Aaron Chia-Tee Kai Wun untuk menyumbang mata. Pada masa sama, barisan perseorangan perlu mencuri sekurang-kurangnya satu mata sama ada menerusi Leong Jun Hao, Justin Hoh atau Eogene Ewe atau Kong Wei Xiang bagi membuka ruang kepada keputusan memihak kepada negara.
Bagaimanapun, Rexy tidak mahu Malaysia terlalu bergantung kepada satu sektor sahaja. Baginya, setiap perlawanan membawa kepentingan sama dan perlu diberikan perhatian penuh.
“Kita datang ke sini untuk bermain lima perlawanan. Fokus kita adalah semua lima perlawanan,” katanya.
Kemenangan ke atas Indonesia akan memastikan Malaysia sekurang-kurangnya membawa pulang pingat gangsa acara berpasukan lelaki.
Kali terakhir Malaysia menaiki podium dalam acara berpasukan Sukan Asia ialah pada edisi Incheon 2014 apabila skuad yang diketuai Datuk Seri Lee Chong Wei meraih pingat gangsa.
Sejak acara berpasukan lelaki diperkenalkan pada Sukan Asia 1962, Malaysia masih belum pernah meraih pingat emas. Pencapaian terbaik negara ialah dua pingat perak pada edisi Bangkok 1966 dan Beijing 1990.