sukan

TERKINI : Skuad lelaki, wanita negara hampir mustahil raih Pingat Sukan Asia

Malaysia perlu melepasi ujian menentang beberapa pasukan pilihan utama Asia untuk memastikan kempen acara berpasukan badminton lelaki dan wanita pada Sukan Asia Aichi-Nagoya tidak berakhir lebih awal.

Tumpuan terawal terarah kepada skuad wanita yang diketuai Pearly Tan-M Thinaah, gandingan nombor lima dunia. Malaysia akan berdepan Hong Kong di Ichinomiya City Municipal Gymnasium, esok, dengan kemenangan diperlukan untuk membawa pasukan negara ke suku akhir.

Halangan seterusnya lebih mencabar kerana pilihan ketiga, Korea Selatan menunggu di kelompok lapan terbaik selepas menerima bye pada pusingan pertama. Jika Malaysia mampu mencipta kejutan ke atas Korea Selatan, skuad negara berkemungkinan bertemu pilihan kedua yang juga tuan rumah, Jepun pada separuh akhir untuk perebutan tempat ke final.

Laluan skuad lelaki juga tidak kurang sukar. Saingan bermula Isnin ini dengan Malaysia yang diketuai Aaron Chia dijangka tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Mongolia pada pusingan pembukaan. Namun, kemenangan tersebut akan membawa Malaysia terus berdepan pilihan utama, Indonesia pada suku akhir.

Indonesia menerima bye ke kelompok lapan terbaik, sekali gus menjadikan pertemuan itu sebagai antara halangan utama Malaysia dalam usaha meneruskan kempen. Sekiranya skuad negara berjaya mengatasi Indonesia, Taiwan atau Thailand berkemungkinan menjadi lawan pada separuh akhir.

Keadaan itu meletakkan keutamaan terhadap tahap konsistensi, pengurusan tekanan dan keupayaan pemain mengekalkan intensiti permainan dalam setiap perlawanan. Setiap pusingan membawa cabaran berbeza dan ruang melakukan kesilapan semakin kecil apabila berdepan pasukan pilihan.

Pengurus pasukan, Datuk Ng Chin Chai berkata, Malaysia perlu mengatasi cabaran lawan yang kuat tanpa mengira laluan yang menanti berdasarkan undian.

“Tiada laluan mudah untuk memenangi pingat kerana kesemua empat pasukan pilihan utama dalam acara berpasukan lelaki dan wanita adalah kuat.

“Malaysia membawa pemain terbaik yang ada dan sudah membuat persiapan dengan baik.

“Sekarang adalah masa untuk pasukan kita menampilkan prestasi terbaik dan mengatasi mana-mana pasukan yang menghalang laluan kita ke podium,” katanya.

Undian itu menyaksikan kedua-dua pasukan negara perlu menyingkirkan beberapa kuasa besar badminton Asia sekiranya mahu mencabar pingat emas. Pada edisi Hangzhou 2022, skuad lelaki Malaysia tersingkir kepada Korea Selatan pada pusingan pertama, manakala skuad wanita tidak mengambil bahagian.

Malaysia kali terakhir memenangi pingat acara berpasukan pada Incheon 2014 apabila pasukan yang diketuai Datuk Seri Lee Chong Wei membawa pulang gangsa. Bagi skuad lelaki, pencapaian terbaik ialah pingat perak pada Sukan Asia 1966 di Bangkok dan 1990 di Beijing.

Skuad wanita pula hanya sekali menaiki podium dalam acara berpasukan, menerusi pingat perak pada edisi Jakarta 1962 selepas tewas kepada Indonesia pada perlawanan akhir. Berdasarkan laluan kali ini, kedua-dua skuad negara sekali lagi perlu menghasilkan prestasi terbaik bagi memastikan kempen mereka terus berlangsung hingga ke peringkat perebutan pingat.