Hasrat Noraqilah Maisarah Ramdan untuk membuat penampilan sulung di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 masih kekal kuat meskipun pemain beregu negara itu berdepan kecederaan buku lali kiri menjelang permulaan saingan badminton berpasukan.
Noraqilah, yang berpasangan dengan Low Zi Yu, tetap berlepas ke Jepun hari ini bersama skuad negara walaupun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya ketika sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Khamis lalu.
Dengan hanya berbaki empat hari sebelum pertandingan bermula, tumpuan kini terarah kepada proses pemulihan serta pemeriksaan lanjut yang akan dilakukan di Jepun. Penilaian itu penting bagi menentukan sama ada Noraqilah berada pada tahap sesuai untuk diturunkan, khususnya dalam keadaan jadualnya merangkumi acara berpasukan dan individu.
Pemain muda itu berkata, keadaan semasanya lebih baik berbanding ketika kecederaan mula berlaku, tetapi masih terlalu awal untuk menentukan tahap kesediaannya.
“Saya rasa semakin baik daripada hari pertama saya alami kecederaan tu. Tapi masih tak tahu lagi, kena pergi sana dulu tengok macam mana.
“Sejak beberapa hari ini saya fokus kepada pemulihan. Ada juga latihan di gelanggang cuma kurang pergerakan,” katanya ketika ditemui di ABM sebelum berlepas ke Jepun, hari ini.
Noraqilah mengakui dia pada mulanya berasa kecewa selepas mengalami kecederaan berkenaan. Namun, peningkatan yang dirasainya sejak beberapa hari lalu memberikan keyakinan untuk meneruskan persiapan.
“Sedih sedikitlah masa baru kena itu, tapi saya rasa sekarang sudah okey. Jalan semua dah okey,” katanya.
Zi Yu-Noraqilah kini berada di ranking ke-49 dunia. Dalam saingan berpasukan, Malaysia mempunyai beberapa pilihan untuk membentuk kombinasi beregu bergantung kepada keadaan pemain dan perancangan jurulatih.
Selain Zi Yu-Noraqilah, pasangan utama negara Pearly Tan-M Thinaah turut berada dalam barisan, manakala pemain beregu campuran Cheng Su Yin dan Shevon Lai Jemie juga menjadi pilihan bagi acara berpasukan.
Zi Yu mengakui belum ada kepastian sama ada dia dan Noraqilah akan diturunkan bersama sekiranya kecederaan pasangannya masih membataskan pergerakan. Menurutnya, perkara itu akan ditentukan oleh barisan kejurulatihan negara.
Bagi Noraqilah, peluang beraksi di Sukan Asia tetap menjadi sasaran walaupun jurulatih sudah memberi ruang kepadanya untuk tidak bermain sekiranya kesakitan berterusan.
“Jurulatih cakap kalau rasa tak boleh, lebih baik tak payah main dulu tetapi pada masa sama dia cakap pergi dulu dan tengok doktor di sana cakap apa. Akan ada lagi satu pemeriksaan di sana nanti.
“Sudah tentu saya mahu bermain di Sukan Asia,” katanya.
Situasi itu meletakkan aspek kecergasan dan pemulihan sebagai keutamaan dalam beberapa hari terakhir sebelum pertandingan. Keputusan mengenai penyertaan Noraqilah dijangka bergantung kepada keadaan selepas pemeriksaan lanjut serta penilaian pasukan perubatan di Jepun.