Petarung Jepun, Nadaka Yoshinari, terus mengukuhkan rekod cemerlangnya selepas mencatat kemenangan ke-42 berturut-turut dengan menewaskan wakil Myanmar, Har Ling Om, dalam pertarungan ONE Samurai 3 di Yokohama, malam tadi.
Kemenangan itu hadir ketika Nadaka semakin hampir kepada satu lagi pertarungan penting apabila juara dunia ONE Atomweight Muay Thai berkenaan dijadualkan berdepan petarung negara, Rifdean Masdor, pada acara ONE SAMURAI 4 di Ariake Arena, Tokyo, Jepun, 17 Oktober depan.
Pertemuan berkenaan bakal menyaksikan Rifdean, yang turut dikenali dengan julukan ‘Magic Boy’, cuba merampas tali pinggang kejuaraan daripada Nadaka di hadapan penyokong jaguh tuan rumah sendiri.
Situasi itu menjadikan pertarungan berkenaan satu cabaran besar buat Rifdean apabila dia bukan sahaja perlu berdepan juara bertahan, malah bakal turun menentang petarung yang membawa momentum kemenangan panjang menjelang pertemuan mereka.
Bagi Rifdean, kemenangan di Tokyo akan membawa nilai besar terhadap kariernya. Petarung berusia 23 tahun itu berpeluang mencatat sejarah sebagai juara dunia ONE kedua dari Malaysia sekiranya berjaya menewaskan Nadaka dan membawa pulang tali pinggang kejuaraan atomweight.
Pencapaian itu akan menyusul kejayaan Aliff Sor Dechapan yang merangkul Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight bulan lalu.
Dengan status pertarungan kejuaraan, aspek disiplin, ketahanan fizikal, kawalan tempo dan kemampuan menyesuaikan strategi sepanjang pertarungan dijangka menjadi antara elemen penting buat Rifdean. Nadaka pula akan memasuki gelanggang dengan keyakinan tinggi berdasarkan rentetan keputusan positif yang terus dipertahankannya.
Nadaka sebelum ini muncul sebagai juara sulung divisyen atomweight selepas menewaskan Numsurin Chor Ketwina menerusi keputusan sebulat suara pada ONE 173, November lalu.
Dia kemudiannya mempertahankan gelaran tersebut menerusi kemenangan ke atas seteru lamanya, Songchainoi Kiatsongrit, pada ONE SAMURAI 1 pada April.
Rekod kemenangan ke-42 berturut-turut yang dicatat terhadap Har Ling Om kini memberi Nadaka satu lagi suntikan keyakinan sebelum mempertahankan kejuaraannya menentang Rifdean.
Dalam masa sama, Rifdean membawa misi tersendiri ke Tokyo dengan peluang mencipta satu lagi pencapaian besar buat Malaysia di pentas ONE.
Pertembungan 17 Oktober itu sekali gus bakal menjadi ujian penting kepada kedua-dua petarung, dengan Nadaka mahu terus mempertahankan kedudukan sebagai juara manakala Rifdean memburu peluang merampas tali pinggang kejuaraan di gelanggang lawan.