sukan

Peluang Sze Fei-Izzuddin tamatkan penantian 20 tahun Malaysia

Persaingan sengit dalam acara beregu lelaki dijangka menjadi medan utama harapan Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya apabila Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani membawa misi memburu pingat emas pertama negara dalam badminton selepas 20 tahun.

Sze Fei-Izzuddin akan turun dengan sasaran jelas di Gimnasium Perbandaran Ichinomiya City, Aichi, venue pertandingan badminton dari 20 hingga 29 September ini. Walaupun mengakui saingan bakal dihuni pasangan bertaraf dunia, Izzuddin tetap meletakkan emas sebagai matlamat utama.

“Kami rasa mempunyai peluang yang baik walaupun banyak lawan kuat di Sukan Asia.

“Namun, sasaran kami tinggi dan sudah tentu kami mahu emas,” kata Izzuddin.

Kali terakhir Malaysia meraih emas badminton di Sukan Asia adalah menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dalam beregu lelaki pada Doha 2006. Pada Hangzhou 2022, Malaysia hanya memperoleh satu pingat badminton apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik memenangi gangsa.

Laluan ke podium di Aichi-Nagoya bagaimanapun tidak mudah. Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan, Fajar Alfian-Shohibul Fikri dari Indonesia, juara dunia Liang Wei Keng-Wang Chang dari China serta juara bertahan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India berada dalam kelompok lawan utama yang perlu diatasi.

Bekas pemain beregu negara, Datuk Seri Jalani Sidek percaya Sze Fei-Izzuddin merupakan taruhan terbaik Malaysia, namun turut mahu Aaron Chia-Tee Kai Wun menggunakan peluang yang diberikan walaupun pasangan itu masih baharu.

“Perjuangkan pingat, mungkin emas. Sebab di situlah saya nampak peluang kita.

“Apapun, skuad sudah dipilih, jadi perjuangkan peluang itu,” kata Jalani ketika ditemui baru-baru ini.

Jalani pada masa sama mahu Sze Fei-Izzuddin memastikan tahap kesiapsiagaan mereka benar-benar berada pada tahap terbaik selepas menarik diri daripada Masters China. Dalam persaingan yang padat dan hanya menawarkan empat pingat bagi beregu lelaki, ruang untuk melakukan kesilapan dijangka sangat kecil.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky berkongsi keyakinan terhadap Sze Fei-Izzuddin, tetapi menegaskan Aaron-Kai Wun juga tidak wajar diketepikan.

“Kita sememangnya mengharapkan Sze Fei-Izzuddin, tetapi itu tidak bermakna kita mengetepikan Aaron-Kai Wun.

“Semua orang mahu kita menang emas kerana Sukan Asia berlangsung empat tahun sekali,” katanya.

Sementara itu, Pearly Tan-M Thinaah berdepan cabaran besar dalam beregu wanita selepas tidak lagi berada dalam kelompok empat pilihan utama susulan kemerosotan prestasi dan masalah kecederaan belakang Pearly yang berulang. Pasangan ranking kelima dunia itu akan bersaing dengan Liu Sheng Shu-Tan Ning, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian, Baek Ha Na-Lee So Hee serta Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto.

Dalam beregu campuran, situasi Malaysia berubah selepas Toh Ee Wei menjalani pembedahan lutut dan kini melalui pemulihan di Melbourne sejak Jun. Keadaan itu menyebabkan Chen Tang Jie bergandingan dengan Cheng Su Yin. Goh Soon Huat-Shevon Lai pula dilihat mempunyai peluang meraih pingat jika dapat mengulangi prestasi sehingga ke separuh akhir Masters China baru-baru ini.

Bagi acara perseorangan, Leong Jun Hao dan Justin Hoh akan membawa cabaran lelaki dalam kelompok yang diketuai pemain nombor satu dunia China, Shi Yu Qi. K Letshanaa dan Wong Ling Ching pula menggalas cabaran wanita dengan juara Olimpik Korea Selatan, An Se Young antara pemain elit yang menanti.