sukan

Apa dah jadi dengan Zii Jia

Kekalahan terbaru Lee Zii Jia di Terbuka Vietnam terus mencetuskan persoalan mengenai prestasi semasanya, namun bekas pemain kebangsaan, Ong Ewe Hock menegaskan masih terlalu awal untuk mengaitkan pemain perseorangan profesional negara itu dengan persaraan.

Ewe Hock percaya Zii Jia masih mempunyai kemampuan untuk bersaing dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, dengan syarat bekas juara Seluruh England itu dapat mengatasi kemelut yang sedang dihadapinya dan menetapkan semula hala tuju karier secara jelas.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik itu tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Vietnam, semalam selepas tewas kepada pemain Taiwan, Wu Zhe Ying yang berada di ranking ke-88 dunia. Zii Jia kalah 21-8, 13-21, 21-14 dalam keputusan yang disifatkan Ewe Hock sebagai kurang baik berdasarkan kualiti yang dimiliki pemain berkenaan.

“Bagi kualitinya, keputusan itu kurang baik kerana dia tidak sepatutnya kalah kepada pemain yang tidak dikenali. Saya rasa sekarang ia lebih kepada aspek mental,” katanya.

Kekalahan itu berlaku selepas Zii Jia turut tersingkir pada pusingan pertama Masters Korea bulan lalu kepada pemain profesional negara, Eogene Ewe. Dua keputusan berkenaan menambah tekanan terhadap usahanya untuk kembali ke prestasi terbaik dan meletakkan aspek keyakinan serta fokus sebagai perkara yang perlu diberi perhatian.

Ewe Hock berpandangan isu yang dihadapi Zii Jia tidak harus dilihat semata-mata melalui keputusan perlawanan. Menurutnya, pemain berkenaan perlu menyelesaikan perkara di luar gelanggang yang mungkin mengganggu kestabilan dan tumpuannya sebelum dapat membina semula keyakinan.

“Zii Jia seperti orang yang terapung di laut dalam kapal tanpa radar atau nakhoda. Tiada hala tuju yang jelas dan itu satu keadaan yang menyedihkan.

Katanya, pengalaman dan pandangan daripada bekas pemain juga boleh menjadi salah satu saluran untuk membantu Zii Jia mencari semula arah dalam karier. Beliau menegaskan tidak ada sebab untuk pemain itu berasa segan mendapatkan nasihat yang mungkin dapat membantunya mencari semula arah dalam karier.

“Tiada salah untuk dia mendekati beberapa bekas pemain dan mendapatkan nasihat yang mungkin boleh membantu. Saya juga bersedia jika dia perlukan pandangan.

“Tangannya seperti terikat dan mungkin dia memerlukan seseorang untuk membantunya melepaskan diri daripada semua masalah di luar gelanggang,” katanya.

Bagi Ewe Hock, perkara utama sekarang ialah Zii Jia perlu kembali mempunyai sasaran yang jelas. Selagi aspek itu belum dipulihkan, tekanan daripada keputusan kurang memberangsangkan berpotensi terus mempengaruhi keyakinan dan fokusnya.

Namun, beliau tetap melihat ruang untuk pemulihan. Berdasarkan kualiti dan masa yang masih ada, Zii Jia masih berpeluang mengubah keadaan sekiranya dapat menyusun semula keutamaan, mengatasi masalah di luar gelanggang dan kembali memberikan tumpuan penuh kepada kariernya.