Tempoh enam bulan akan menjadi fasa penting buat barisan kejurulatihan skuad bawah 19 tahun negara dalam membentuk pasukan yang benar-benar bersedia menghadapi cabaran Piala Asia B-20 2027 di Hangzhou, China pada Mac dan April tahun depan.
Pengendali skuad B-19 negara, Shukor Adan mengakui masih banyak aspek perlu diperhalusi selepas pasukan berjaya memastikan tempat ke kejohanan berkenaan menerusi kempen kelayakan.
Menurut bekas tonggak pertahanan skuad kebangsaan itu, tempoh yang ada perlu dimanfaatkan untuk mengenal pasti kelemahan pasukan, menilai kemampuan pemain serta menyusun program persiapan yang sesuai sebelum berdepan lawan terbaik di peringkat Asia.
Shukor menyedari cabaran pada Piala Asia jauh lebih tinggi dan persiapan tidak boleh dilakukan secara ala kadar kerana setiap pasukan yang layak mempunyai kekuatan tersendiri.
Beliau bagaimanapun menjelaskan perancangan lebih terperinci belum dapat dilaksanakan ketika ini berikutan pemain masih perlu meneruskan komitmen bersama pasukan masing-masing dalam saingan Piala Belia dan Piala Presiden.
“Saya dan staf kejurulatihan akan bincang apa yang kami nampak kelemahan dan perlu perbaiki sebelum ke Piala Asia. Kami tahu Piala Asia ialah kejohanan yang sukar dan pasukan yang melayakkan diri juga adalah pasukan yang hebat.
“Banyak lagi kerja saya perlu buat. Jadi saya berasa enam bulan ini bukan satu jangka masa yang panjang sebenarnya dan saya kena plan juga dengan barisan kejurulatihan yang ada mengenai bagaimana perancangan untuk pasukan.
“Buat masa sekarang, saya rasa saya tak boleh nak buat persiapan lebih terperinci sebab pemain masih ada kejohanan yang mereka perlu beraksi. Jadi apabila habis Piala Belia dan Piala Presiden nanti, baru persiapan lebih rapi dapat dilakukan.
“Namun, perancangan perlu dimulakan dari sekarang dan pemain mungkin akan dikumpulkan awal tahun depan,” kata Shukor.
Berdasarkan perancangan awal itu, kem latihan skuad kebangsaan berkemungkinan bermula seawal Januari depan selepas komitmen pertandingan domestik pemain selesai.
Tempoh berkenaan akan memberi ruang kepada barisan kejurulatihan untuk melakukan penilaian lebih menyeluruh terhadap skuad sebelum menentukan pendekatan persiapan yang sesuai bagi menghadapi tahap persaingan lebih tinggi.
Skuad muda negara memperoleh tiket ke Piala Asia B-20 2027 selepas berjaya mengisi salah satu daripada tujuh slot pasukan tempat kedua terbaik kumpulan dalam kempen kelayakan.
Anak buah Shukor menamatkan saingan Kumpulan H di kedudukan kedua dengan lima mata selepas mencatat keputusan seri menentang Indonesia dan Australia sebelum menewaskan Laos 2-1 dalam perlawanan terakhir.
Kejayaan itu memastikan Malaysia meneruskan cabaran di Hangzhou, namun Shukor jelas tidak mahu kelayakan berkenaan menyebabkan pasukan terleka. Sebaliknya, fokus kini beralih kepada penggunaan tempoh enam bulan dengan sebaik mungkin untuk memperkemas kelemahan dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan pasukan sebelum kejohanan bermula.