Ketahanan benteng pertahanan dan beberapa penyelamatan penting Faez Iqhwan Muhamad Azmi membantu skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara meraih satu mata dalam aksi pembukaan Kumpulan H Kelayakan Piala Asia Bawah 20 tahun (B-20) 2027 selepas seri tanpa jaringan dengan Indonesia di Stadium Nasional Lao KM16, Vientiane, Laos, petang ini.
Indonesia menguasai sebahagian besar permainan serta menghasilkan lebih banyak peluang, namun Malaysia berjaya menyerap tekanan dan mengekalkan kedudukan 0-0 hingga wisel penamat. Keputusan itu memberi permulaan yang memberangsangkan kepada skuad kendalian Shukor Adan sebelum mereka menghadapi dua lagi perlawanan dalam kumpulan.
Tekanan Indonesia mula kelihatan menerusi Arkhan Kaka Putra pada minit ke-18, tetapi percubaannya disekat pertahanan Malaysia. Nazriel Alfaro kemudian mencuba menerusi rembatan pada minit ke-20, namun bola melambung tinggi, manakala Amar Brkic turut gagal menemui sasaran lapan minit selepas itu.
Faez Iqhwan mula memainkan peranan penting apabila menafikan rembatan Muhammad Isfandyar Abdillah pada minit ke-37. Empat minit kemudian, beliau sekali lagi berdepan ancaman menerusi percubaan jarak jauh Indonesia, tetapi gawang Malaysia kekal tidak dibolosi.
Walaupun Indonesia lebih banyak melancarkan serangan, Malaysia tidak hanya menunggu tekanan lawan. Skuad negara mempunyai sekurang-kurangnya dua percubaan untuk menguji gawang Indonesia pada babak pertama, namun gagal memperoleh jaringan dan keputusan kekal 0-0 ketika rehat.
Malaysia kemudian memulakan separuh masa kedua dengan lebih garang apabila Tengku Hasyri Shah Meerza melakukan percubaan tepat pada minit ke-47. Bagaimanapun, Dafa Al Gasemi Setiawarman berada pada kedudukan sesuai untuk menangkap bola berkenaan.
Indonesia terus mencari ruang untuk memecah kebuntuan. Rafi Rasyiq memperoleh peluang pada minit ke-65 sebelum satu situasi satu lawan satu berlaku pada minit ke-75. Kedua-dua ancaman itu gagal menghasilkan gol selepas Faez Iqhwan terus memastikan gawang Malaysia tidak dibolosi.
Pada minit ke-78, Indonesia hampir mendapat gol pembukaan apabila tandukan Irpan Abadi Siregar yang berada betul-betul di hadapan gawang Malaysia melepasi sasaran. Peluang itu berlaku selepas tendangan Faez Iqhwan yang cuba mengeluarkan bola melambung perlahan, tetapi Malaysia terselamat daripada dibolosi.
Dengan satu mata dalam tangan, skuad negara kini akan memberi tumpuan kepada pertemuan menentang Australia pada Khamis sebelum berdepan Laos, yang juga tuan rumah, pada Ahad bagi menutup jadual kelayakan.
Format kelayakan menyaksikan hanya lapan juara kumpulan dan tujuh pasukan tempat kedua terbaik akan mengiringi tuan rumah China ke Piala Asia B-20 2027 yang berlangsung pada Mac 2027.
Malaysia sebelum ini gagal layak ke pusingan akhir edisi 2025 di China selepas menamatkan kempen kelayakan di Tajikistan pada kedudukan keempat dengan lima mata daripada lima perlawanan.
Kali terakhir skuad negara layak ke pusingan akhir adalah pada edisi 2020 di Uzbekistan, tetapi pertandingan itu dibatalkan susulan COVID-19. Rekod terbaik Malaysia dalam Piala Asia B-20 ialah muncul naib juara pada tiga edisi, masing-masing pada 1959, 1960 dan 1968.