Persib Bandung berdepan tekanan menjelang aksi playoff Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2026/27 selepas rayuan mereka terhadap hukuman Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) ditolak sepenuhnya, manakala Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) turut dilaporkan mengenakan sekatan perpindahan terhadap kelab Indonesia itu.
AFC mengekalkan hukuman susulan insiden pencerobohan peminat ke dalam padang ketika Persib menentang Ratchaburi dalam aksi pusingan 16 ACL2 di Stadium Gelora Bandung Lautan Api (GBLA) pada 18 Februari musim lalu.
Dengan keputusan rayuan itu, Persib kekal perlu membayar denda keseluruhan sebanyak US$200,000. Kelab berkenaan juga diwajibkan menjalani hukuman tanpa penonton bagi perlawanan di tempat sendiri pada musim akan datang.
Bayaran denda tersebut perlu diselesaikan dalam tempoh 30 hari daripada notis yang dikeluarkan. Hukuman berkenaan berpunca daripada faktor keselamatan selepas berlaku pencerobohan penyokong ke kawasan padang.
Insiden itu berlaku selepas Persib mencatat kemenangan 1-0 ke atas Ratchaburi dalam perlawanan kedua pusingan 16 di GBLA. Walaupun berjaya memenangi aksi tersebut, Pangeran Biru tetap tersingkir kerana kemenangan itu gagal menutup defisit tiga gol kepada pihak lawan.
Kegagalan meneruskan kempen mencetuskan kekecewaan penyokong sebelum pergolakan berlaku di stadium selepas tamat perlawanan. Kejadian berkenaan akhirnya membawa kepada tindakan tatatertib AFC yang kini kekal selepas proses rayuan selesai.
Persib seterusnya dijadualkan menghadapi Manila Digger dalam playoff ACL2 2026/27 pada 31 Ogos 2026. Perlawanan itu akan dimainkan secara tertutup di sebuah stadium.
Dalam keputusan sama, penggantungan bagi perlawanan kedua di tempat sendiri diletakkan di bawah tempoh percubaan selama dua tahun. Peraturan AFC menetapkan bahawa kesalahan serupa dalam tempoh percubaan boleh menyebabkan Persib berdepan tindakan tatatertib tambahan.
Pada masa sama, isu Persib tidak terhad kepada hukuman AFC. FIFA dilaporkan sekali lagi mengenakan sekatan perpindahan atau transfer ban selama tiga jendela perpindahan terhadap gergasi bola sepak negara jiran itu.
Pada Mac lalu, Persib turut dilaporkan dikenakan hukuman hampir serupa berkaitan penamatan kontrak bekas pemain yang dilepaskan lebih awal. Kes tersebut kemudiannya dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Menurut perkongsian laman rasmi Persib, sekatan terbaharu itu berkaitan kes lama pada 2022 susulan laporan yang dibuat bekas jurulatih mereka, Robert Rene Alberts.
Keadaan berkenaan meletakkan Persib dalam situasi mencabar menjelang kempen baharu, dengan kelab itu perlu menguruskan hukuman AFC berkaitan keselamatan stadium serta sekatan perpindahan FIFA yang dilaporkan membabitkan tiga jendela perpindahan.