Kelab Indonesia, PSM Makassar, memberikan kata-kata semangat kepada pemain tengah Harimau Malaya, Sergio Aguero, menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Hyundai ASEAN menentang Vietnam di Cheras sebentar lagi.
Menerusi satu kiriman di media sosial, kelab Liga Super Indonesia itu secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Aguero yang bakal menyertai mereka sebagai tonggak baharu.
“Selamat berjuang hari ini di ASEAN Championship 2026 Pak Cik Sergio Fabian Ezequiel Aguero,” tulis kelab itu.
Sokongan berkenaan hadir selepas PSM Makassar sebelum ini mengumumkan bahawa Aguero akan menjadi sebahagian daripada pasukan mereka. Kelab tersebut turut menggambarkan pemain kelahiran Argentina yang mewakili Malaysia itu sebagai elemen baharu dalam skuad mereka untuk musim ini.
“Juku Eja akan mendapatkan sentuhan Tango-Malaya musim ini setelah bergabungnya Sergio Aguero, pemain tim nasional Malaysia kelahiran Argentina,” kata PSM dalam satu lagi hantaran.
Dalam perkembangan berkaitan skuad kebangsaan, pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe melakukan dua pertukaran untuk melayan kunjungan Vietnam pada aksi separuh akhir kedua Piala ASEAN 2026, malam ini.
Perubahan itu dibuat selepas Aliff Haiqal Lau tidak dapat diturunkan susulan kecederaan, manakala Wan Ahmad Kuzain Wan Ahmad Kamal terikat dengan komitmen kelab. Cheng Hoe mengisi dua kekosongan tersebut dengan Syafiq Ahmad dan pemain muda, Daryl Sham George.
Bahagian pertahanan pula tidak mengalami perubahan. Azri Ghani kekal diberi tanggungjawab sebagai penjaga gol, dengan Ubaidullah Shamsul Fazili dan Rodney Celvin Akwensivie terus berada dalam barisan pertahanan.
Muhammad Aliff Ahmad dan Muhammad Faris Danish Asrul turut melengkapkan benteng Harimau Malaya bagi perlawanan berkenaan.
Antara pemain yang dikekalkan daripada aksi menentang Filipina ialah tiga pemain naturalisasi, didahului kapten Paulo Josue, Sergio Aguero dan pemain sayap Mohamadou Sumareh. Kehadiran mereka mengekalkan teras pengalaman dalam kesebelasan utama ketika skuad negara berdepan cabaran penting di pentas Piala ASEAN.
Penyerang muda, G Pavithran juga terus mendapat kepercayaan Cheng Hoe untuk membarisi kesebelasan utama malam ini. Pemilihan itu menunjukkan jurulatih berkenaan mengekalkan keyakinan terhadap barisan yang telah digunakan sebelum ini, dengan hanya dua perubahan dilakukan bagi menampung ketiadaan pemain tertentu.
Sebagai rekod, aksi separuh akhir kedua Piala ASEAN 2026 akan berlangsung di Hanoi, Rabu ini.
Kali terakhir skuad negara mara ke final Piala ASEAN adalah pada 2018, ketika pasukan kebangsaan turut dibimbing oleh Cheng Hoe.