Tee Kai Wun mahu memastikan prestasi individunya berada pada tahap terbaik sebelum memikirkan lebih jauh mengenai keserasian bersama Man Wei Chong menjelang Kejohanan Dunia yang berlangsung dari 17 hingga 23 Ogos di India.
Pemain beregu lelaki negara itu menegaskan bahawa kemampuan seseorang pemain menampilkan permainan sendiri dengan baik merupakan asas penting sebelum sebuah pasangan dapat berfungsi secara berkesan dalam suasana pertandingan sebenar.
“Bagi sasaran peribadi, saya rasa diri sendiri yang penting. Apa yang ada pada diri sendiri, sesuaikan diri dulu, kemudian baru fikir mengenai pasangan. Sebab kalau fikir mengenai pasangan dahulu tetapi diri sendiri tidak bagus, kita pun tidak boleh membawanya dan dia pun susah,” katanya.
Kai Wun akan kembali bergandingan bersama Wei Chong pada kejohanan berkenaan dan pengalaman mereka pernah bermain bersama sebelum ini membantu proses menyesuaikan semula corak permainan masing-masing.
Menurut Kai Wun, persiapan setakat ini berjalan tanpa perubahan besar. Namun, beliau mengakui keadaan ketika latihan tidak semestinya memberikan gambaran sebenar mengenai bagaimana mereka akan beraksi apabila berdepan tekanan pertandingan.
“Setakat ini tidak ada apa sangat sebab ini latihan. Dalam latihan pun kami masih ada masa dengan pasangan masing-masing. Tetapi apabila kejohanan, kami tidak tahu bagaimana kami akan bermain. Jadi, kita tengoklah. Harap jangan terlalu teruk, tetapi yang penting semangat juang dan prestasi diri perlu dikeluarkan,” katanya.
Dalam masa sama, Kai Wun turut mengakui sedikit terkilan dengan kemungkinan perlu berdepan rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik seawal pusingan 16 terbaik.
Pertemuan sesama pasangan Malaysia bermakna salah satu wakil negara perlu tersingkir lebih awal, sekali gus mengecilkan peluang untuk melihat lebih banyak gandingan Malaysia meneruskan cabaran ke peringkat seterusnya.
“Ada sedikit sayanglah sebab kami pun bukan pilihan lapan terbaik sekarang. Jadi, jumpa di pusingan 16 terbaik itu ada rasa sayang sedikit,” katanya yang akan kembali bergandingan bersama Man Wei Chong.
Walaupun laluan undian menyediakan kemungkinan pertemuan berkenaan, Kai Wun memilih untuk tidak terlalu memikirkannya. Keutamaan ketika ini adalah membina keyakinan terhadap permainan sendiri serta memastikan aspek yang boleh dikawal diberikan perhatian sepenuhnya.
Wei Chong-Kai Wun mendapat bye pada pusingan pertama dan dijangka bertemu Chen Zhi Yi-Presley Smith dari Amerika Syarikat pada pusingan 32 terbaik.
Pada edisi lalu, perjalanan mereka terhenti di suku akhir selepas tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dengan keputusan 21-23, 23-21, 15-21.
Pengalaman tersebut menjadi sebahagian daripada latar persaingan mereka menjelang edisi kali ini, namun Kai Wun tetap menumpukan perhatian terhadap prestasi semasa, kesediaan diri dan semangat juang apabila turun ke gelanggang.