KUALA LUMPUR: Harimau Malaya bakal berdepan barisan serangan paling produktif di Piala ASEAN 2026 apabila menerima kunjungan juara bertahan, Vietnam pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Ahad ini.
Vietnam mara daripada Kumpulan A dengan rekod 13 jaringan dalam empat perlawanan, menjadikan skuad Golden Star Warriors sebagai pasukan paling banyak menghasilkan gol sepanjang peringkat kumpulan.
Keupayaan mereka di hadapan gawang lawan terserlah apabila membelasah Timor Leste 7-0 serta mencatat kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Indonesia di gelanggang lawan. Vietnam turut menewaskan Kemboja 3-1 dan hanya gagal menjaringkan gol ketika seri 0-0 dengan Singapura di tempat sendiri.
Lebih mencabar buat Harimau Malaya, Vietnam hanya melepaskan satu gol sepanjang empat aksi kumpulan, memperlihatkan keseimbangan antara ketajaman serangan dan kemampuan mempertahankan kedudukan.
Penyerang berusia 21 tahun, Nguyen Dinh Bac muncul antara ancaman utama yang perlu dikawal oleh benteng negara selepas mengumpul lima gol setakat ini. Dia menghasilkan hatrik ketika Vietnam membelasah Timor Leste sebelum menambah dua lagi jaringan ketika menentang Kemboja.
Nguyen Xuan Son pula sudah mengumpul dua gol dan dijangka turut memainkan peranan penting dalam jentera serangan Vietnam. Selain dua penyerang berkenaan, kapten pasukan yang juga pemain tengah berpengalaman, Nguyen Quang Hai, menjadi antara tonggak yang perlu diberikan perhatian.
Harimau Malaya pula mara ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B dengan tujuh jaringan dan tiga gol dibolosi. Skuad kendalian Tan Cheng Hoe turut melalui cabaran di peringkat kumpulan termasuk kekalahan 0-2 kepada Thailand.
Persiapan negara menjelang separuh akhir turut dibayangi masalah kecederaan selepas perancang tengah, Endrick Dos Santos dan pemain pertahanan, Jimmy Raymond tidak dapat meneruskan kempen.
Namun, penjaga gol Harimau Malaya, Azri Ghani tetap yakin setiap pemain yang diberikan tanggungjawab mampu memberikan komitmen terbaik untuk menghadapi Vietnam.
“Setiap perlawanan saya akan sentiasa berikan tumpuan yang terbaik dalam permainan, mengatur barisan pertahanan dan saya berada dalam keadaan bersedia (berdepan Vietnam).
“Ini pertama kali saya akan menentang skuad senior Vietnam. Jadi, saya nak mencuba dan memberikan persembahan terbaik,” katanya.
Bagi Harimau Malaya, keputusan positif di Kuala Lumpur penting sebelum kedua-dua pasukan kembali bertemu pada aksi timbal balik di Stadium My Dinh, 19 Ogos ini. Kemenangan di tempat sendiri boleh memberikan kelebihan kepada skuad negara sebelum menghadapi tekanan lebih besar di gelanggang lawan.
Azri berkata masalah kecederaan dalam pasukan tidak seharusnya mengganggu fokus pemain yang masih tersedia untuk diturunkan.
“Kita tahu sekarang ramai pemain dalam keadaan yang kurang baik dari segi kecederaan dan bagi saya tiada masalah. Mana-mana pemain yang ada, saya harapkan mereka memberikan persembahan yang terbaik untuk perlawanan menentang Vietnam.
“Buat masa sekarang saya tengok dari segi pemain, mereka menjalani pemulihan dengan baik. Saya mengharapkan mereka kembali dengan cepat untuk perlawanan seterusnya, mungkin bermain dekat Vietnam nanti,” katanya.
Dengan Vietnam membawa rekod jaringan terbaik daripada peringkat kumpulan, Harimau Malaya perlu menampilkan organisasi pertahanan yang kemas serta mengekalkan tumpuan sepanjang perlawanan sekiranya mahu mendapatkan bekalan penting sebelum aksi kedua.