Kemungkinan Bergson Da Silva bergelar pemain naturalisasi Malaysia semakin mendapat perhatian selepas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu memberi jawapan positif ketika ditanya mengenai statusnya bagi musim akan datang.
Pada majlis Anugerah Liga Malaysia atau Liga M Awards 2025-2026 (LMA25-26), malam tadi, Bergson tersenyum ketika ditanya sama ada rakyat Malaysia bakal melihatnya beraksi sebagai pemain tempatan. Jawapannya ringkas tetapi jelas: “Ya, ya, ya… akan terjadi.”
Kenyataan itu hadir ketika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilaporkan sedang melengkapkan proses dokumentasi pemain berusia 35 tahun berkenaan untuk mendapatkan status sebagai pemain naturalisasi skuad kebangsaan.
Semalam, BH Sukan melaporkan proses berkenaan sedang dilaksanakan, manakala Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menjelaskan bahawa Bergson boleh menyarung jersi Harimau Malaya sekiranya dokumentasi tersebut dilengkapkan.
Beliau turut memberi bayangan bahawa tiada masalah untuk pemain kelahiran Brazil itu mendapatkan status naturalisasi kerana Bergson sudah melengkapkan syarat lima tahun beraksi di negara ini.
Bergson sebelum ini menjadi perhatian selepas satu video temu bual tular apabila dia menyatakan kesediaannya untuk mewakili Harimau Malaya. Pada LMA25-26, penyerang itu sekali lagi menyentuh perkara sama sambil menghargai sokongan dan harapan yang diberikan peminat kepadanya.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih atas segala ucapan yang mereka (peminat) berikan kepada saya, sokongan dan juga harapan mereka mengenai perkara itu (kesediaannya untuk mewakili Malaysia).
“Ia kerana saya sentiasa memberikan segala-galanya untuk negara ini dan juga kelab ini. Saya juga teruja untuk mewakili mereka di atas padang kerana saya sudah berada di sini hampir enam tahun.
“Jadi saya fikir sudah tiba masanya untuk bersama dan sekali lagi, ia adalah satu penghormatan besar buat saya. Saya gembira dan bangga untuk bermain untuk JDT, saya hanya ingin katakan terima kasih kepada semua,” katanya.
Ketika sesi temu bual itu, Bergson turut menyelitkan jawapan dalam bahasa Melayu, mengulangi pendekatan yang pernah dilakukannya sebelum ini ketika berhadapan media.
Dalam saingan domestik, prestasi Bergson terus mendapat pengiktirafan apabila dia mempertahankan anugerah Pemain Import Terbaik untuk musim keempat berturut-turut pada LMA25-26. Dia juga meraih Kasut Emas buat kali ketiga.
“Anugerah ini sangat bermakna kerana seperti yang selalu saya katakan, apabila pertama kali tiba di sini, saya tidak pernah membayangkan akan mencapai banyak perkara sebegini,” kata Bergson.
“Ini salah satu sebab untuk saya lebih dahagakan kejayaan dan lebih bermotivasi. Jadi, saya sangat gembira dan saya tiada kata-kata untuk menggambarkan semua detik yang kami lalui di JDT.”
Dengan proses dokumentasi masih menjadi perkara utama, kenyataan terbaru Bergson menambahkan lagi perhatian terhadap kemungkinan dia menyertai skuad kebangsaan, selepas hampir enam tahun berada di negara ini dan terus menjadi tonggak utama JDT.