Datuk Seri Lee Chong Wei menegaskan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan membuat keputusan terhadap masa depan pemain negara semata-mata berdasarkan kekalahan atau keputusan yang dicatat dalam sesuatu kejohanan.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM itu berkata, proses penilaian perlu mengambil kira gambaran keseluruhan prestasi seseorang pemain termasuk tahap semangat juang, corak permainan, kelemahan teknikal serta kecergasan yang ditunjukkan ketika beraksi.
Pendekatan berkenaan penting bagi memastikan setiap pemain dinilai secara adil dan tidak dihukum hanya kerana gagal memperoleh kemenangan, terutama apabila mereka berdepan lawan yang berada pada kedudukan ranking lebih tinggi.
“Kita tidak akan buang pemain begitu saja, sebab kita tengok prestasi. Sekarang prestasi semua, kita tidak boleh kata bagus sangat pun tidak, teruk sangat pun tidak.
“Tetapi kita tengok dan teliti balik, tengok cara dia main, cara dia punya ‘fighting spirit’ (semangat melawan). Contohnya kita hantar beregu campuran, dia lawan nombor satu, dia fight habis-habisan dan kalah set ketiga, kita kena terima,” katanya.
Menurut Chong Wei, pemain yang kalah selepas memberikan tentangan terbaik tidak wajar terus dinilai secara negatif kerana keputusan akhir hanya satu daripada beberapa komponen yang perlu diteliti.
Katanya, analisis perlu dibuat terhadap siapa yang dihadapi pemain, bagaimana kekalahan berlaku serta sejauh mana pemain mampu mengekalkan semangat melawan sepanjang perlawanan.
“Kita kena teliti balik apa yang dia kalah, dia kalah dengan siapa dan bagaimana semangat melawan dia di tempat itu.
“Ini sangat penting untuk jurulatih dan kita kena teliti semula setiap kejohanan. Kalau dia betul-betul main, berjuang habis-habisan dan sudah beri segala-galanya, kita kena terima,” katanya.
Beliau berkata, proses selepas kejohanan juga memainkan peranan besar kerana setiap kekurangan perlu dikenal pasti dengan jelas sebelum langkah penambahbaikan dilakukan.
Antara perkara yang perlu dinilai ialah aspek teknikal dan kecergasan, selain kemampuan pemain mengekalkan prestasi ketika berdepan tekanan serta cabaran daripada lawan yang lebih kuat.
“Mungkin dia kurang dari segi teknikal atau mungkin kecergasan dia tidak cukup. Itulah jurulatih kena ulas balik apa yang dia kalah dalam kejohanan ini dan apa yang dia kurang.
“Kita yang duduk di luar boleh nampak, jurulatih boleh nampak. Ini tanggungjawab jurulatih,” katanya.
Chong Wei berkata, tanggungjawab itu perlu dilaksanakan oleh barisan kejurulatihan secara berterusan kerana mereka mempunyai peranan langsung dalam menilai perkembangan serta kelemahan pemain selepas setiap pertandingan.
Beliau turut percaya Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky dan semua ketua jurulatih memahami aspek yang masih perlu diperbaiki dalam kalangan pemain di bawah kendalian masing-masing.
“Saya fikir Rexy dan semua ketua jurulatih tahu apa yang pemain kurang. Ini sangat penting dan sekarang jurulatih kena jaga prestasi pemain,” katanya.
Penilaian konsisten itu dianggap penting bagi memastikan perkembangan pemain tidak ditentukan oleh satu keputusan semata-mata, sebaliknya mengambil kira tahap permainan, disiplin pertandingan, kecergasan dan kemampuan mereka memberikan saingan maksimum di gelanggang.