Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang melengkapkan proses dokumentasi Bergson Da Silva bagi membolehkan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mendapatkan status sebagai pemain naturalisasi skuad kebangsaan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, Bergson berpeluang menyarung jersi Harimau Malaya sekiranya semua proses dokumentasi berkaitan dapat diselesaikan. Beliau turut memberi bayangan bahawa tidak timbul masalah besar untuk pemain kelahiran Brazil itu mendapatkan status berkenaan selepas memenuhi syarat lima tahun beraksi di Malaysia.
Perkembangan itu membuka kemungkinan Bergson berada dalam perancangan skuad kebangsaan untuk menghadapi Piala ASEAN FIFA, sekiranya proses berkenaan dapat dimuktamadkan mengikut tempoh yang diperlukan.
“Biar saya semak dahulu mengenai Bergson, tetapi benda itu tiada masalah, saya rasa kalau proses dokumen lengkap, untuk Piala ASEAN FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) itu dia boleh mewakili (negara).
“Kami sedang lengkapkan proses dokumentasi,” katanya ketika ditanya BH Sukan mengenai status terkini proses naturalisasi Bergson.
Ketika ditanya sama ada proses itu mampu diselesaikan dalam masa terdekat sehingga membolehkan Bergson bersama Harimau Malaya bagi kempen Piala ASEAN FIFA bulan depan, Noor Azman menjawab: “Insya-Allah.”
Bergson sebelum ini turut menyatakan kesediaannya untuk mewakili Malaysia sekiranya memenuhi kelayakan dan menerima panggilan bagi menyertai skuad kebangsaan. Perkara itu disuarakannya menerusi satu video temu bual yang dimuat naik di laman Facebook JomUnited.
“Saya sangat hargai, terima kasih. Saya fikir, ya, saya melakukan persiapan dan saya bersedia untuknya (mewakili Malaysia). Jadi saya cuma tunggu apa yang akan berlaku untuk langkah seterusnya.
“Ia kerana kita tidak akan pernah tahu, tetapi saya gembira berada di sini dan saya tidak sabar untuk perkara ini,” kata Bergson dalam video berkenaan.
Pemain berusia 35 tahun itu mula beraksi dalam Liga M pada 2021 selepas menyertai JDT dan sehingga kini masih kekal bersama Harimau Selatan. Tempoh lima tahun beraksi di negara ini menjadi antara perkara penting yang disebut FAM dalam perkembangan proses dokumentasinya.
Sepanjang bersama JDT, Bergson sudah mengecapi semua kejuaraan peringkat domestik selain mencatat pencapaian individu yang konsisten. Dia dinobatkan Pemain Import Terbaik sebanyak tiga kali bagi musim 2022, 2023 dan 2024–25.
Bergson juga muncul penjaring terbanyak Liga Super pada musim 2022, 2024–25 dan 2025–26, selain memegang status sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super.
Dengan proses dokumentasi masih dilengkapkan FAM, tumpuan kini terarah kepada penyelesaian urusan berkenaan sebelum sebarang penyertaan bersama Harimau Malaya dapat direalisasikan. Kesediaan Bergson sudah dinyatakan, manakala keputusan seterusnya bergantung kepada proses yang sedang dilaksanakan badan induk bola sepak negara itu.