sukan

“Berhentilah! Berambuslah dari sukan ini kalau boleh”

KUALA LUMPUR – Pemilihan kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu berlandaskan merit serta kemampuan calon melakukan perubahan dan bukannya dipengaruhi hubungan persahabatan, menurut Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Dalam menyatakan pendiriannya terhadap perebutan jawatan Presiden FAM, Megat D Shahriman secara terbuka memberikan sokongan kepada Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Beliau menganggap Shahril sebagai individu paling layak dalam kalangan nama yang dikaitkan dengan jawatan nombor satu badan induk bola sepak negara itu.

“Saya sokong Datuk Seri Shahril Mokhtar. Sebagai individu yang saya percaya, ‘corporate man’, seorang bapa yang baik dan individu yang menarik.

“Saya percaya Shahril Mokhtar paling layak antara yang lain. Minta maaf saya nak cakap begitu, tapi paling layak, berilah dia peluang,” katanya yang pernah menyatakan kesediaan untuk merebut jawatan nombor satu FAM.

Megat D Shahriman menegaskan pemilihan kepimpinan badan induk itu perlu meletakkan kemampuan calon sebagai ukuran utama kerana FAM membawa kepentingan lebih besar daripada hubungan peribadi antara individu dalam industri.

“Kita tak boleh letak merit ini tidak ada bahasa kawan, brother, sahabat. Tidak. Merit ini sebab ini adalah milik rakyat, milik negara, milik semua orang.

“Kalau you tak layak, sudahlah! Sudah-sudahlah! Pergilah dari sukan bola ini, jaga cucu ke, jaga anak ke, pergi berniaga, jangan buang masa orang,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mengambil pendirian tegas terhadap calon yang pernah mempunyai pengalaman memegang jawatan dalam bola sepak.

Megat D Shahriman berpandangan sudah tiba masanya ruang lebih luas diberikan kepada kepimpinan baharu sekiranya individu berkenaan mampu menawarkan perubahan yang diperlukan.

“Yang lain dah cukup masanya, dah pernah duduk, sudahlah! Berhentilah! Berambuslah dari sukan ini kalau boleh,” katanya.

Walaupun sokongan terhadap Shahril dinyatakan secara terbuka, Megat D Shahriman menjelaskan bahawa pendiriannya itu bukan bertujuan mendahului proses pemilihan atau menentukan siapa yang akan memenangi pertandingan bagi jawatan Presiden FAM.

Menurutnya, keputusan menang atau kalah bukan perkara utama pada peringkat ini kerana tumpuan sepatutnya diberikan kepada penilaian terhadap calon yang benar-benar mampu membawa perubahan.

“Saya nak dia menang kalah itu kemudian, itu persoalan kedua. Yang penting orang akan tengok sama ada mereka nak sokong ini, harus sokong orang yang betul-betul boleh buat perubahan,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk bersama-sama Shahril sekiranya Timbalan Presiden FAS itu dipilih menerajui FAM.

Megat D Shahriman berkata, beliau bersedia memainkan peranan dalam usaha melakukan perubahan terhadap bola sepak negara walaupun dirinya sendiri tidak mendapat jawatan tersebut.

“Saya kalau tak dapat jadi pun tak apa, saya boleh bersama dengan Datuk Seri Shahril Mokhtar untuk revampkan bola sepak ini,” katanya.

Perhatian kini terarah kepada persaingan merebut kerusi Exco FAM bagi baki penggal 2025-2029 selepas 31 calon dilaporkan berjaya melepasi proses saringan kelayakan.

Bagaimanapun, seorang calon dari Kelantan yang bertanding untuk jawatan Naib Presiden 1 dilaporkan tidak memenuhi syarat pengalaman lima tahun dalam bola sepak.

Semua calon yang melepasi saringan perlu mengesahkan sama ada menerima atau menolak pencalonan masing-masing sebelum 2 September 2026, jam 5.30 petang, mengikut Artikel 9 Kod Pemilihan FAM.

Bagi jawatan Presiden FAM, Shahril antara nama yang disebut bakal bertanding bersama mantan Presiden, Tan Sri Hamidin Mohd Amin serta Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan.

Perkembangan itu meletakkan perebutan kepimpinan FAM sebagai antara tumpuan utama apabila calon yang melepasi kelayakan bergerak ke peringkat seterusnya dalam proses pemilihan bagi baki penggal 2025-2029.