Cheam June Wei mara ke suku akhir Korea Masters 2026 selepas menundukkan wakil China, Dong Tian Yao, dalam aksi pusingan 16 di Gimnasium Asan Yi Sun-sin, hari ini.
Pemain ranking ke-72 dunia itu mencatat kemenangan straight set 21-10, 21-13 ke atas lawan yang berada di kedudukan ke-49 dunia, sekali gus mengesahkan kemaraan bergaya ke kelompok lapan terbaik.
June Wei yang tampil bermotivasi tinggi selepas menewaskan pilihan kedua, Jason Teh, semalam, mempamerkan aksi agresif sejak awal permainan. Kombinasi permainan jaring tajam dan serangan ‘smash’ padu membolehkan beliau menguasai set pertama dengan kemenangan mudah 21-10.
Pada set kedua, Tian Yao cuba meningkatkan tempo permainan, namun June Wei kekal tenang mengawal perlawanan. Konsistensi tinggi dan disiplin taktikal membolehkan pemain negara itu menamatkan saingan dengan kemenangan 21-13.
Kejayaan ini turut menebus kekalahan June Wei kepada pemain sama di China Masters tahun lalu, selain mengukuhkan keyakinannya untuk mencabar kejuaraan di kejohanan bertaraf Super 300 itu.