sukan

Piala Dunia : Kejutan Terbesar Juara dunia empat kali tersingkir

Paraguay mencipta kejutan terbesar Piala Dunia 2026 apabila menyingkirkan juara dunia empat kali, Jerman, menerusi kemenangan 4-3 dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan pada aksi pusingan 32 terbaik, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan Jerman tewas buat kali pertama dalam sejarah penentuan sepakan penalti di Piala Dunia, sekali gus menamatkan impian mereka untuk melangkah lebih jauh selepas kali pertama beraksi di peringkat kalah mati sejak muncul juara pada edisi 2014.

Paraguay terlebih dahulu mengejutkan lawan apabila penyerang muda, Julio Enciso menanduk masuk gol pembukaan sebelum tamat babak pertama hasil hantaran lintang Matias Galarza, selepas benteng Jerman gagal mengawal situasi daripada sepakan penjuru.

Jaringan itu turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi gol pertama Paraguay dalam aksi kalah mati Piala Dunia selepas gagal menjaringkan sebarang gol dalam lima perlawanan terdahulu di peringkat itu, termasuk tewas 0-1 kepada Jerman pada pusingan 16 terbaik edisi 2002.

Jerman yang bergelut menembusi benteng kebal Paraguay akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-54 menerusi Kai Havertz, yang menanduk masuk hantaran silang Florian Wirtz untuk meledak gol ketiganya dalam kejohanan ini.

Skuad bimbingan Julian Nagelsmann kemudian menguasai permainan, namun ketangkasan penjaga gol Paraguay, Orlando Gill, menjadi penghalang utama apabila beberapa kali menyelamatkan percubaan berbahaya termasuk tandukan Havertz.

Jerman hampir mendahului ketika masa tambahan apabila Jonathan Tah menanduk masuk bola daripada sepakan penjuru, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan VAR mendapati Waldemar Anton melakukan kekasaran terhadap Gill ketika proses jaringan.

Perlawanan akhirnya diheret ke penentuan penalti yang berlangsung penuh dramatik.

Gill muncul wira Paraguay apabila menyelamatkan sepakan Havertz dan Nick Woltemade, walaupun rakan sepasukannya turut mensia-siakan dua peluang untuk menamatkan perlawanan lebih awal.

Bagaimanapun, selepas Tah gagal menyempurnakan sepakannya dengan bola melambung tinggi, Jose Canale tenang menyempurnakan penalti terakhir untuk menghadiahkan kemenangan bersejarah buat Paraguay.

Kemenangan itu disifatkan antara pencapaian terbesar Paraguay di pentas Piala Dunia, namun mereka bakal berdepan cabaran lebih getir pada pusingan 16 terbaik apabila dijadual bertemu Perancis, sekiranya Les Bleus menewaskan Sweden dalam satu lagi aksi pusingan 32 terbaik.

Sementara itu, Nagelsmann membuat beberapa perubahan terhadap kesebelasan utama apabila memberi penyerang Deniz Undav penampilan pertama sebagai pemain utama selepas meledak tiga gol sebagai pemain gantian dalam saingan peringkat kumpulan, manakala Nathaniel Brown kembali mengisi posisi bek kiri selepas pulih daripada kecederaan ringan.

Di pihak Paraguay pula, jurulatih Gustavo Alfaro kembali menggunakan khidmat kapten Miguel Almiron selepas tamat penggantungan satu perlawanan, dan pemain berpengalaman itu memainkan peranan penting membantu pasukannya mengekang asakan bertali arus Jerman sebelum mencipta satu lagi sensasi dalam sejarah bola sepak Paraguay.