Brazil mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2026 selepas mencatat kemenangan dramatik 2-1 ke atas Jepun dalam aksi pusingan 32 yang berlangsung di Stadium Houston, sebentar tadi. Kejayaan itu hadir hasil kebangkitan pada babak kedua sebelum Gabriel Martinelli muncul wira pasukan menerusi jaringan kemenangan pada masa kecederaan.
Perlawanan berlangsung sengit apabila Jepun terlebih dahulu mengejutkan Brazil menerusi jaringan Kaishu Sano pada minit ke-29. Gol itu meletakkan wakil Asia berkenaan di hadapan selepas Sano memanfaatkan kesilapan hantaran Danilo sebelum melakukan larian pantas ke arah gawang dan melepaskan rembatan kencang yang menewaskan Alisson Becker.
Jaringan berkenaan memberi kelebihan kepada Jepun yang kemudian memperagakan corak permainan bertahan dengan cukup tersusun sepanjang baki babak pertama. Disiplin tinggi dipamerkan pemain Samurai Blue berjaya mengekang setiap percubaan Brazil selain menutup ruang bagi menyukarkan jentera serangan lawan menghasilkan peluang berkualiti.
Brazil yang bergelut memecahkan benteng pertahanan Jepun akhirnya menemui gol penyamaan pada minit ke-56 menerusi Casemiro. Jaringan itu mengubah momentum permainan apabila skuad bimbingan Carlo Ancelotti tampil lebih yakin untuk terus memburu gol kemenangan.
Selepas berjaya menyamakan kedudukan, Brazil meningkatkan intensiti permainan dengan melancarkan lebih banyak serangan ke kubu Jepun. Pasukan itu terus memberikan tekanan dalam usaha mengelakkan perlawanan diheret ke masa tambahan, namun Jepun kekal bertahan dengan penuh disiplin sambil berusaha mempertahankan keputusan seri.
Ketika aksi dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan, Brazil akhirnya memperoleh detik yang dinantikan apabila Gabriel Martinelli muncul wira pasukan. Pemain itu meledak gol kemenangan pada minit kelima masa kecederaan sekali gus memastikan Brazil melengkapkan kebangkitan dramatik untuk meraih kemenangan 2-1.
Jaringan Martinelli bukan sahaja memastikan Brazil mara ke pusingan 16 terakhir, malah turut mencipta rekod tersendiri apabila menjadi gol kemenangan paling lewat dalam masa sebenar perlawanan peringkat kalah mati Piala Dunia sejak 1966.
Kemenangan itu turut menyaksikan Brazil mengelakkan satu lagi kejutan besar dalam kejohanan apabila berjaya bangkit selepas ketinggalan. Keputusan tersebut juga memastikan juara dunia lima kali itu meneruskan cabaran dengan penuh keyakinan menjelang aksi berikutnya.
Brazil dijadual bertemu pemenang perlawanan antara Norway dan Ivory Coast di New Jersey, awal pagi esok. Kemenangan dramatik ke atas Jepun pastinya menjadi suntikan moral buat skuad kendalian Ancelotti yang berdepan cabaran lebih sukar pada pusingan seterusnya.
Sebaik wisel penamat ditiup, pemain dan pegawai Brazil meraikan kemenangan penuh emosi di atas padang selepas berjaya mengatasi tentangan sengit Jepun. Dalam masa sama, pemain Samurai Blue jelas kecewa apabila usaha gigih mereka sepanjang perlawanan tidak mampu diterjemahkan kepada slot ke pusingan seterusnya.
Martinelli mengakui sukar menggambarkan perasaannya selepas muncul penyelamat Brazil menerusi jaringan kemenangan yang hadir pada saat-saat akhir perlawanan.
“Saya tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan perasaan ini. Mungkin saya hanya akan benar-benar menyedarinya selepas beberapa ketika.
“Syukur kepada Tuhan kerana saya dapat menjaringkan gol hari ini. Saya sangat gembira untuk pasukan yang berjuang habis-habisan. Saya benar-benar kehilangan kata-kata,” kata Martinelli.
Sementara itu, Ancelotti memuji kesungguhan anak buahnya yang tidak berputus asa walaupun berdepan lawan yang cukup tersusun sepanjang babak pertama. Menurut beliau, perubahan pendekatan selepas rehat membantu Brazil menguasai permainan dan mencipta lebih banyak peluang.
“Kami mempunyai banyak pilihan sama ada di atas padang mahupun di bangku simpanan. Jepun bukan lawan yang mudah. Mereka sangat teratur dan bermain dengan intensiti tinggi.
“Saya sebenarnya menyimpan Neymar untuk masa tambahan. Saya bercadang memasukkannya pada minit ke-105 jika kami masih gagal menjaringkan gol kedua. Saya tidak mahu mengubah struktur pasukan kerana kami bermain dengan baik,” kata Ancelotti.