sukan

Piala Dunia : Jaringan Messi pecah rekod dunia sepatutnya dibatalkan

Jaringan yang membolehkan Lionel Messi memecahkan rekod penjaring terbanyak sepanjang sejarah Piala Dunia menerima kritikan daripada bekas penjaga gol Denmark, Peter Schmeichel, yang berpendapat gol tersebut sepatutnya tidak disahkan.

Messi mencatat gol ke-17 peribadinya dalam kejohanan itu ketika membuat penampilan ke-28 bersama Argentina dalam perlawanan menentang Austria. Bintang berusia itu menyempurnakan hantaran lintang dari dalam kotak penalti menerusi rembatan kaki kiri untuk mencipta rekod baharu.

Namun, bekas pemain Manchester United yang kini bertugas sebagai pengulas Fox Sports itu berpandangan jaringan berkenaan sepatutnya dibatalkan kerana terdapat kekasaran dalam gerakan yang membawa kepada gol tersebut.

Schmeichel mendakwa pengadil, Amin Mohamed Omar, gagal mengesan insiden yang melibatkan Alexis Mac Allister dan pemain Austria, Xaver Schlager. Menurutnya, pemain Liverpool itu telah menjatuhkan pemain RB Leipzig berkenaan sebelum Argentina melancarkan gerakan yang menghasilkan jaringan Messi.

Legenda Denmark yang membuat 129 penampilan antarabangsa bersama negaranya berkata keputusan tersebut sepatutnya diperbetulkan melalui semakan VAR.

Bercakap kepada Fox Sports ketika rehat separuh masa, Schmeichel berkata: “Saya tidak fikir gol itu sepatutnya dikira.

“Fikirkan bagaimana situasi itu bermula, terdapat sentuhan dari belakang ke atas Xaver Schlager. Ia adalah sepakan percuma, Mac Allister menjatuhkan pemain itu.

“Sepatutnya pengadil memberikan sepakan percuma. VAR sepatutnya menyemak semula insiden itu dan ia kesilapan oleh pengadil dan sebab itu saya berasa sedikit kecewa.”

Pandangan Schmeichel turut mendapat perhatian peminat di media sosial yang mempersoalkan keputusan pengadil serta kegagalan VAR campur tangan dalam situasi tersebut.

Seorang pengguna media sosial menulis: “FIFA korup. Bagi tahu saya mengapa tiada satu pun video menunjukkan kekasaran ke atas pemain Austria yang membawa kepada gol Messi? Tiada VAR, tiada apa-apa. Penipu.”

Seorang lagi peminat pula berkata: “Adakah FIFA benar-benar cuba memberi kelebihan kepada Argentina? Terdapat kekasaran jelas ke atas pemain Austria sebelum Argentina menjaringkan gol. Perlawanan sebelum ini Messi juga melakukan kekasaran yang sepatutnya dilayangkan kad merah. Apa sebenarnya yang sedang berlaku?”

Sementara itu, seorang lagi penyokong meluahkan rasa tidak puas hati dengan menyatakan: “Kekasaran yang jelas sebelum gol Messi itu. Pada tahap ini ia benar-benar memalukan.”

Walaupun keputusan tersebut menerima pelbagai bantahan daripada Schmeichel serta sebahagian peminat, jaringan itu kekal disahkan dan tidak mengalami sebarang perubahan selepas semakan rasmi.

Messi kemudiannya sekali lagi membuktikan ketajamannya apabila meledak gol kedua pada masa kecederaan. Tambahan jaringan tersebut menyaksikan kapten Argentina itu mengumpul keseluruhan 18 gol di pentas Piala Dunia.

Pencapaian berkenaan sekali gus meletakkan Messi di tangga teratas senarai penjaring terbanyak sepanjang sejarah kejohanan, sekali gus mengukuhkan lagi pengaruhnya dalam kempen Argentina walaupun jaringan pemecah rekodnya terus menjadi topik perdebatan selepas perlawanan berakhir.