sukan

Piala Dunia : Qatar teruk dibelasah

Kanada mencatat kemenangan pertama mereka di pentas Piala Dunia selepas membelasah Qatar 6-0 dalam aksi Kumpulan B awal pagi tadi dengan Jonathan David muncul watak utama menerusi ledakan hatrik yang meletakkan pasukan tuan rumah bersama itu di landasan terbaik untuk melangkah lebih jauh.

Kejayaan besar itu membolehkan Kanada mengumpul empat mata daripada dua perlawanan dan merampas kedudukan teratas kumpulan daripada Switzerland berdasarkan kelebihan perbezaan jaringan. Kedua-dua pasukan memiliki jumlah mata yang sama, namun kelebihan jaringan memihak kepada Kanada menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, kemenangan meyakinkan itu turut diselubungi kebimbangan selepas pemain tengah mereka, Ismael Kone, mengalami kecederaan pada kaki kiri selepas menerima terjahan keras daripada pemain Qatar, Assim Madibo pada awal separuh masa kedua. Kone terpaksa diusung keluar bagi mendapatkan rawatan lanjut, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap kecergasannya menjelang perlawanan seterusnya.

Madibo pula menerima kad merah susulan kekasaran tersebut, menyebabkan Qatar beraksi dengan sembilan pemain ketika perlawanan masih berbaki. Situasi itu memberi kelebihan besar kepada Kanada yang terus menguasai permainan dan mengekalkan intensiti serangan sehingga wisel penamat.

Kanada terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Cyle Larin yang pantas menyempurnakan bola muntah untuk meletakkan pasukannya di hadapan. Selepas itu, Jonathan David menggandakan kelebihan menerusi voli menarik sebelum sekali lagi menemui sasaran menerusi penyudah dari jarak dekat untuk menjadikan kedudukan semakin selesa buat pasukan tuan rumah bersama itu.

Momentum Kanada tidak terhenti apabila Nathan Saliba yang baru dimasukkan menggantikan Kone berjaya memberikan impak segera. Beliau melebarkan jurang menerusi sepakan percuma yang menewaskan pertahanan Qatar, sekali gus menambahkan tekanan kepada lawan yang semakin bergelut selepas kehilangan pemain.

Kesukaran Qatar bertambah apabila Mohamed Manai tertampan bola ke gawang sendiri untuk menghadiahkan gol kelima kepada Kanada. Dalam masa kecederaan, Jonathan David melengkapkan persembahan cemerlangnya apabila meledak gol ketiga peribadi menerusi rembatan kaki kiri untuk memastikan kemenangan besar 6-0 berpihak kepada Kanada.

Sebelum itu, Qatar sudah pun kehilangan seorang pemain apabila Homam Ahmed dibuang padang pada minit ke-34 selepas melakukan kekasaran terhadap Tajon Buchanan. Pengadil pada awalnya menghadiahkan sepakan penalti kepada Kanada, namun keputusan tersebut disemak semula menerusi video bantuan pengadil (VAR).

Hasil semakan mendapati kekasaran itu berlaku di luar kawasan penalti, sekali gus membatalkan sepakan penalti yang diberikan. Walaupun begitu, keputusan untuk melayangkan kad merah kepada Ahmed dikekalkan kerana kesalahan yang dilakukan dianggap serius.

Beraksi dengan kekurangan pemain sejak penghujung separuh masa pertama menyebabkan Qatar gagal memberikan tentangan seimbang. Tekanan berterusan daripada Kanada serta kelebihan bilangan pemain membolehkan mereka mengawal rentak permainan dengan lebih tersusun dan memanfaatkan ruang yang terhasil sepanjang baki perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan Kanada kini mendahului Kumpulan B menjelang perlawanan terakhir menentang Switzerland di Vancouver pada 25 Jun ini. Qatar pula akan menutup kempen kumpulan dengan menghadapi Bosnia dan Herzegovina di Seattle dalam usaha mencari penamat yang lebih baik selepas kekalahan besar tersebut.