sukan

TERKINI : Faizal Saari ‘mengamuk’, bedal Kanada

Skuad hoki lelaki negara, The Speedy Tigers meneruskan permulaan cemerlang dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2026 selepas membelasah Kanada 6-0 pada aksi kedua saingan liga sepusingan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, malam ini.

Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia mencatat kejayaan kedua berturut-turut, sekali gus mengekalkan rekod tanpa dibolosi selepas mengharungi dua perlawanan dalam kejohanan edisi ke-32 itu.

Penyerang berpengalaman negara, Faizal Saari muncul watak utama apabila meledak empat jaringan, manakala dua lagi gol disumbangkan Azrai Aizad Abu Kamal dan Amirul Hamizan Azahar.

Skuad kendalian Brendan Carolan tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Faizal memanfaatkan bola muntah hasil percubaan Azrai seawal minit kedua.

Gol pembukaan itu berpunca daripada kegagalan penjaga gol Kanada, Zachary Coombs mengawal bola dengan kemas, sekali gus membolehkan Faizal menyempurnakan peluang dari jarak dekat.

Jaringan awal tersebut memberikan kelebihan kepada Malaysia yang terus meningkatkan tekanan menerusi beberapa gerakan serangan sepanjang suku pertama.

Bagaimanapun, tiada jaringan tambahan dihasilkan sehingga tamat 15 minit pertama apabila Kanada mula memperkemaskan benteng pertahanan.

Memasuki suku kedua, Malaysia meneruskan corak permainan menyerang dan akhirnya menggandakan kedudukan menerusi Azrai pada minit ke-23.

Pemain kelahiran Perak yang mesra disapa Boy itu menyempurnakan hantaran Muhajir Abdu Rauf untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Kanada cuba memberikan reaksi dan hampir merapatkan jurang pada minit ke-26, namun ketangkasan Zaimi Mat Deris yang melakukan dua penyelamatan serta tindakan Amirul menghalang satu lagi percubaan memastikan gawang negara kekal tidak dibolosi.

Dua minit kemudian, Amirul pula mencatat nama sebagai penjaring apabila pantas menyambar bola muntah daripada pukulan sudut penalti Faizal untuk meletakkan Malaysia di depan 3-0.

Kedudukan tersebut kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung suku ketiga, Faizal sekali lagi mencuri tumpuan apabila menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-34 untuk menghasilkan gol keempat Malaysia.

Penyerang berpengalaman itu kemudian melengkapkan hatrik peribadinya menerusi jaringan padang pada minit ke-49 sebelum menambah gol keempat hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-56.

Keputusan 6-0 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus memberikan kemenangan besar kepada Malaysia yang sebelum ini menewaskan Korea Selatan 3-0 pada aksi pembukaan, malam semalam.

Dua kemenangan tersebut membolehkan The Speedy Tigers mengumpul enam mata dengan sembilan jaringan tanpa bolos selepas 120 minit permainan.

Malaysia seterusnya dijadual menentang Amerika Syarikat pada Isnin, 23 November, sebelum berdepan Australia dan Pakistan dalam baki saingan liga sepusingan.

Dengan hanya dua pasukan teratas akan melangkah ke final, setiap kemenangan menjadi penting buat skuad negara dalam usaha memburu tempat ke perlawanan penentuan kejuaraan pada 28 November ini.